PENGASAS gerai Haron Satay di East Coast Lagoon Food Village, Encik Haron Abu Bakar, meninggal dunia pagi semalam.
Menurut anaknya, Cik Harlina Haron, Allahyarham bapanya, 69 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 5.45 pagi akibat penyakit jantung di Hospital Besar Changi (CGH).
Jenazah Allahyarham Haron telah selamat dikebumikan selepas solat zuhur semalam.
Cik Harlina, 43 tahun, berkata bapanya dihantar ke hospital kelmarin dan doktor telah mendapati bahawa ginjalnya juga sudah tidak berfungsi lagi.
"Bapa telah diberikan bantuan pernafasan kerana jantungnya semakin lemah.
"Kami baru saja pulang rumah sekitar 3 pagi dan mendapat panggilan telefon daripada hospital pada sekitar 5 pagi.
"Mereka memberitahu keadaan bapa semakin teruk lalu kami terus ke hospital semula," ujar Cik Harlina ketika ditemui wartawan Berita Harian di rumahnya di Bedok North Avenue 3 semalam.
Cik Harlina menambah bahawa bapanya telah mula sakit tujuh tahun lalu dan keadaan bertambah teruk dua tahun lalu.
Ramai saudara-mara dan rakan lama datang menziarah sebelum jenazah berangkat bagi dikebumikan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Cik Saedah Dobal, 59 tahun; empat anak dan dua cucu.
Laporan lanjut: Anak ambil alih Haron Satay apabila ayah jatuh sakit 7 tahun lalu