Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Imbangi sentimen masyarakat dan perspektif pemerintah

Guntor Sadali pimpin akhbar BH dengan liputan pelbagai isu sensitif sepanjang 15 tahun selaku editor
Nov 21, 2017 | 05:30 AM



Daripada isu derma mata bagi masyarakat Islam hinggalah kepada ketaatan Melayu, Encik Guntor Sadali telah terlibat melaporkan berita-berita ini sama ada sebagai wartawan ataupun editor Berita Harian, jawatan yang disandangnya selama 15 tahun. Dalam wawancara sempena melabuh tirai sambutan ulang tahun ke-60 akhbar ini, Encik Guntor berkongsi pahit manis dan cabaran menerajui akhbar sulung berbahasa Melayu di Singapura ini selain mendedahkan identiti 'Wak Cantuk' - ruangan mingguan yang mewarnai edisi hujung minggu akhbar ini selama lebih sedekad.



SEMASA mula bertugas dengan Berita Harian (BH) pada 1971, Encik Guntor Sadali masih ingat bagaimana akhbar itu bergantung pada berita-berita dari Seberang Tambak.



BH yang mula diterbitkan pada 1957 mempunyai pejabat di Kuala Lumpur sebelum operasi akhbar tersebut berpindah ke Singapura pada 1970, menyusuli perpisahan Singapura daripada Malaysia pada Ogos 1965.



"BH mengekalkan namanya, cuma kandungannya berbeza. The Straits Times juga mengekalkan namanya, namun di Malaysia namanya bertukar kepada New Straits Times.



"Pada 1973 barulah BH berdiri atas kaki sendiri, dengan menterjemahkan berita daripada The Straits Times dan bakinya diisi wartawan BH dengan berita-berita berkaitan masyarakat Melayu setempat," kongsi beliau.



Meskipun masa sudah lama berlalu, memori terhadap kerjayanya itu masih jelas dalam ingatan Encik Guntor, 64 tahun.



Bak kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.



Beliau, yang memimpin akhbar BH sebagai Editor selama 15 tahun sebelum bersara pada Mac 2014, kembali ke bilik berita baru-baru ini untuk mengongsi pengalamannya sempena sambutan ulang tahun BH yang ke-60.



"Rindu pulak dengan BH," kata Encik Guntor apabila beliau sendiri yang menyarankan wawancara dilakukan di pejabat BH.



Rasa rindu itu boleh difahami memandangkan Encik Guntor merupakan antara wartawan perintis akhbar ini, yang telah melaporkan pelbagai berita penting melibatkan masyarakat Melayu.



Antaranya termasuk perbahasan antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan Allahyarham Profesor Syed Hussin Alatas berhubung isu derma mata.



"Ia merupakan kali pertama perbahasan sihat dibincangkan berhubung isu yang agak kontroversial.



"Tetapi ia amat bermanfaat bagi pembaca," ujarnya.



Encik Guntor masih ingat semasa Singapura menjalani pembangunan, beliau dikehendaki melaporkan berita mengenai beberapa masjid yang terpaksa dirobohkan.



"Bukan sahaja masjid, malah tempat ibadah lain turut terjejas. Penting bagi kami menangani isu ini sebaik mungkin kerana ia merupakan satu isu sensitif dan merupakan antara keprihatinan masyarakat Melayu ketika itu.



"Jika tidak, ia boleh menimbulkan rusuhan," katanya lagi.



Selain itu, satu lagi isu sensitif ialah azan masjid dengan pembesar suaranya perlu 'dihalakan' ke dalam masjid dan bukan ke bahagian luar masjid.



"Memang ketika itu saya ingat ada sebahagian masyarakat Muslim yang tidak gembira dengan perubahan itu. Justeru pada ketika itulah pemerintah membenarkan azan dikumandangkan di corong-corong radio agar azan dapat didengar di mana sahaja anda berada," katanya.



Namun saat genting bagi BH, menurut beliau, ialah pada 1976 apabila editor ketika itu, Allahyarham Hussein Jahidin, dan timbalannya, Encik Nahar Azmi Mahmud, ditangkap kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan komunis.



"Bayangkan semalaman begitu sahaja, BH tidak mempunyai sebarang ketua," singkapnya.



Beliau kemudian dipilih mengetuai akhbar itu sekitar dua bulan sebelum Encik Zainul Abidin Rasheed, yang kini Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait dan Wakil Khas Menteri Ehwal Luar ke Timur Tengah, menyandang jawatan tersebut.



Di bawah kepimpinan Encik Zainul, antara berita yang meninggalkan kesan ke atas diri Encik Guntor ialah isu kesetiaan warga Melayu memegang jawatan penting dalam angkatan tentera.



"BH mengetengahkan sentimen masyarakat Melayu, dan pada masa yang sama menjelaskan juga kepada masyarakat kedudukan pemerintah dalam isu tersebut," katanya.



Pengalaman Encik Guntor membuat laporan dan mengimbangi pelbagai berita sensitif beliau jadikan sandaran semasa diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai editor.



Isu tudung pada 2002 - empat murid sekolah sekular menghadiri hari pertama persekolahan dengan memakai tudung - adalah antara isu yang masih segar di ingatannya.



"Kepentingan negara perlu didahulukan, tetapi pada masa yang sama, kepentingan masyarakat tidak harus dikorbankan. Inilah prinsip yang saya pegang," ujarnya.



Pengenalan pendidikan wajib juga menimbulkan keprihatinan dalam kalangan masyarakat Melayu setempat yang khuatir implikasinya kepada pendidikan madrasah.



"Cabarannya adalah menyampaikan dasar pemerintah agar difahami masyarakat dan pada masa yang sama mengetengahkan kepentingan masyarakat dalam isu itu," katanya lagi.



Menurut beliau, jika akhbar mengetepikan pandangan masyarakat Melayu, ia akan kehilangan kredibiliti di mata masyarakat.



Beliau sering mengambil pendekatan meniadakan aspek emosi dan hanya memaparkan fakta.



"Masa (timing) dan sentuhan (treatment) yang diberikan kepada setiap berita sensitif itu penting," ujarnya lagi.



Di sebalik persoalan segala berita sensitif yang perlu ditanganinya, Encik Guntor juga sempat menjawab teka-teki berkenaan nama pseudo Wak Cantuk yang setiap minggu melahirkan pandangannya yang padat, tepat dan pedas berkenaan isu yang melibatkan masyarakat Melayu.



Ditanya sama ada beliau adalah Wak Cantuk, sambil tersenyum lebar Encik Guntor berkata:



"Memandangkan saya sudah bersara sekarang, mungkin saya boleh katakan dengan jelas bahawa saya adalah Wak Cantuk."



Tambahnya, editor Allahyarham Hussein yang memberi beliau gelaran tersebut.



Menurut beliau, Wak Cantuk adalah lelaki yang mengamuk pada tahun 1850-an di Kampung Jawa, yang meliputi Bussorah Street, Baghdad Street, Arab Street dan Pahang Street.



"Ruangan Wak Cantuk ini bak satu ruangan sindiran. Isu yang sukar dipermudah untuk difahami masyarakat.



"Tetapi saya tidak sangka ramai pembaca yang masih mengingati ruangan ini.



"Malah, baru-baru ini, saya diberitahu ada seorang pembaca setia BH yang memotong dan menyimpan segala keratan akhbar yang ditulis Wak Cantuk," katanya sambil tertawa.




KEGIATAN SEMPENA ULANG TAHUN BH KE-60 SEPANJANG TAHUN INI



Dua lagi kegiatan bakal diadakan



  • 26 November: Pameran Kenangan di Sungai

  • 27 - 30 November: Jejak Sungai Singapura




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >