Subuh
5:54
Syuruk
7:15
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
Setempat0

CEKAL SEMANGAT, HARUNGI CABARAN

Imbangi tanggungjawab sebagai kakak, murid dan menjaga arwah ayah

Murid cemerlang PSLE turut berbakat gesek biola
Nov 26, 2020 | 05:30 AM

RAMAI kanak-kanak sebaya Irdina Wasrina Mohd Isham selalunya menghabiskan sebahagian besar masa mereka dengan bermain dan belajar.

Namun, sejak kecil lagi, murid Sekolah Rendah Sengkang Green ini perlu memikul beberapa tanggungjawab berbeza - sebagai kakak, murid dan menjaga arwah ayahnya yang sakit.

Keadaan ayahnya, yang menghidap barah paru-paru, kian tenat sejak awal tahun ini hingga menghembuskan nafas terakhirnya pada April lalu semasa tempoh pemutus litar.

Sepanjang membuat persiapan bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, Irdina juga sering membahagikan masanya sebaik sahaja pulang dari sekolah membantu ibunya dengan melakukan kerja rumah dan memastikan bapanya selesa dan dijaga sebaik sahaja pulang dari sekolah.

"Apabila saya pulang rumah, saya akan membantu ibu pastikan ayah sudah diberi makanan dan ubat-ubatnya sebelum beliau berehat. Kemudian saya pula akan menggunakan masa itu untuk mengulangkaji atau belajar sebelum perlu mandikannya serta bantu menukar pakaiannya sebelum makan malam.

"Oleh kerana ibu saya perlu bekerja untuk menyara keluarga, ini adalah antara perkara yang saya boleh lakukan untuk bantu.

"Mungkin saya tidak dapat meluangkan masa seperti kawan-kawan lain tetapi saya rasa ini ialah tanggungjawab saya sebagai seorang anak untuk membantu dan berbakti kepada ibu bapa saya," kata Irdina, 12 tahun, yang juga meluangkan masanya menjaga adik lelakinya yang berusia sembilan tahun.

Ibunya bekerja sebagai penyambut tamu dan juga pembantu pentadbir.

Meskipun memikul pelbagai tanggungjawab, Irdina tetap fokus dan komited dalam pembelajaran dan tugasnya sebagai pengawas sekolah.

Walaupun beliau tidak dapat sebanyak bantuan dalam pembelajarannya di sekolah semasa tempoh pemutus litar, Irdina berkata keluarganya, guru-guru dan rakan-rakan lain telah banyak memberi sokongan semasa tempoh mencabar itu.

Antaranya, gurunya telah menghulurkan bantuan dari segi pembelajaran, serta menghadiahkan Irdina biola kecil terpakai supaya beliau dapat terus mengejar minatnya untuk menjadi seorang pemuzik.

"Guru-guru saya telah banyak membantu saya selepas sekolah untuk mengajar saya perkara yang saya tidak pasti. Apabila saya berasa sedih, rakan-rakan saya pula sentiasa berusaha menghiburkan saya.

"Selain itu, saya gembira dan terharu dengan biola kecil yang diberi oleh guru-guru kegiatan kokurikular (CCA). Saya diberi peluang terus belajar bermain biola kecil dan menunaikan hasrat ayah saya," kata Irdina yang ingin menjadi seorang penggesek biola dalam masa akan datang.

Meski berdepan dengan cabaran selain emosi yang terganggu menyusuli pemergian ayah tercinta, Irdina mampu tersenyum apabila menerima keputusan peperiksaan semalam.

Dia berjaya meraih keputusan baik yang membolehkannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ekspres.

Dalam satu panggilan melalui Zoom, Irdina berkongsi bahawa dia merancang meneruskan pembelajarannya ke Sekolah Menengah CHIJ St. Joseph Convent.

Mengulas mengenai pencapaiannya, anak sulung itu berkata: "Saya selalu terkenangkan ayah saya yang bersikap positif dan cuba mencontohi sikap tersebut. Selain itu, saya rasa saya tidak mungkin dapat mencapai keputusan baik ini tanpa sokongan dan dorongan ibu dan adik saya.

"Apa pun, saya tahu saya telah melakukan terbaik untuk peperiksaan ini dan berpuas hati dengan keputusan yang diraih."

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map