IMDA: Rangkaian 5G pertama dilancar tahun depan
MULAI tahun depan sekurang-kurangnya dua rangkaian 5G akan dilancarkan di Singapura untuk memudahkan penggunaan aplikasi teknologi canggih seperti kereta tanpa pemandu dan khidmat realiti maya atau VR.
Menyatakan demikian di taklimat media pagi tadi, Penguasa Pembangun Media Infokom (IMDA) berkata mereka telah pun membuka peluang kepada syarikat telekomunikasi yang berminat untuk memberikan cadangan terperinci mereka.
Ini termasuk rancangan untuk menggunakan dan menawarkan khidmat rangkaian itu kepada pengguna, dan dua syarikat terpilih akan diberikan gelombang udara 5G tersebut.
Cadangan yang dikemukakan akan dinilai berdasarkan keupayaan syarikat tersebut untuk memenuhi keperluan pengawalseliaan.
Ini termasuk mencapai 50 peratus liputan rangkaian 5G seluruh Singapura pada 2023, dan keinginan untuk menjual khidmat rangkaian itu kepada pengendali alat mudah alih lain yang tidak diberikan gelombang udara tersebut.
IMDA turut mengumumkan bahawa mereka akan membuka peluang kepada masyarakat awam dan industri untuk mengemukakan pandangan serta maklum balas mereka mengenai rangkaian 5G.
Rundingan awam tersebut akan berlangsung hingga 19 Jun dan juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan awam tentang strategi pemberian gelombang udara itu serta bayaran tahunan untuk menggunakan 5G.