INDIA telah melarang semua penerbangan penumpang antarabangsa antara Singapura dengan India sejak Mac tahun lalu, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan bersama semalam.
Memberikan respons terhadap pertanyaan media berkaitan penerbangan antara dua negara itu, kenyataan tersebut menambah Singapore Airlines (SIA) hanya dibenarkan mengendalikan pesawat kargo ke India.
Satu-satunya penerbangan yang dibenarkan antara Singapura dengan India adalah penerbangan Vande Bharat yang diperuntukkan pemerintah India untuk membawa warganya pulang.
"Pemerintah India juga membenarkan mereka yang perlu pulang ke Singapura untuk menaiki penerbangan tersebut kerana ini merupakan satu-satunya penerbangan ke Singapura," katanya.
Penerbangan itu dikendalikan pesawat yang ditentukan pemerintah India dengan pengesahan dari pemerintah Singapura.
Buat masa kini, semua penerbangan tersebut beroperasi di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.
Secara purata, sekitar 180 penumpang menaiki pesawat tersebut untuk pulang ke India setiap hari secara purata.
Sementara itu, 25 penumpang dari India tiba di Singapura setiap hari secara purata, majoritinya terdiri daripada warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR), tambah kenyataan bersama itu.
Semua penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Changi perlu menjalani dua ujian Covid-19 sebaik tiba iaitu ujian pantas antigen (ART) dan ujian reaksi rantai polimerase (PCR).
Mereka kemudian akan dibawa ke kenderaan yang ditetapkan untuk menuju lokasi di mana mereka akan menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 21 hari.