PERBELANJAAN bagi perkhidmatan warga emas akan meningkat dalam Belanjawan tahun ini, selain pemerintah juga perlu mempertimbangkan persoalanan untuk menaikkan cukai, kata Menteri Negara Kanan (Kewangan), Cik Indranee Rajah.
Komen beliau itu merupakan bayangan paling jelas bahawa pemerintah akan memberi tumpuan kepada warga emas dalam Belanjawan yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 19 Februari ini, lapor akhbar The Straits Times.
"Memandang ke hadapan, keperluan penjagaan kesihatan kita akan meningkat. Perbelanjaan penjagaan kesihatan tentunya akan meningkat.
"Itu adalah sesuatu yang perlu kita lihat bagaimana kita dapat membiayainya dengan cara yang mampan. Kita perlu mempertimbangkan soalan menaikkan cukai," kata Cik Indranee.
Beliau berkata demikian dalam satu lawatan ke pusat Penjagaan Kesihatan dan Warga Emas Persatuan Kebajikan Wanita Asia (AWWA) di Ang Mo Kio.
Tumpuan kepada warga emas mencerminkan profil demografi yang berubah, katanya.
"Dahulu, kami banyak membelanjakan untuk pendidikan. Pada tahun-tahun akan datang, penjagaan kesihatan akan membentuk bahagian lebih besar daripada perbelanjaan belanjawan kami," kata Cik Indranee, yang juga Menteri Negara Kanan (Undang-Undang).