INFLASI teras akan menjadi purata 30 peratus lebih tinggi jika Penguasa Kewangan Singapura (MAS) tidak membuat penyesuaian kepada dasar kewangan negara, kata Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam.
MAS menganggarkan langkah dasar kewangannya sejak Oktober tahun lalu akan mengekang inflasi teras sebanyak purata 1.2 mata peratusan setahun sepanjang tahun ini dan tahun depan.
Tetapi memandangkan peningkatan mendadak dalam harga tenaga dan makanan global, adalah tidak mungkin atau wajar bagi dasar kewangan untuk mengimbangi sepenuhnya kesannya.
Oleh itu, sokongan fiskal pemerintah akan mengurangkan kesan inflasi ke atas keluarga berpendapatan sederhana dan lebih rendah.
Encik Tharman berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Parlimen oleh Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) kelmarin.
Encik Saktiandi telah bertanya tentang penilaian pemerintah terhadap kecukupan kadar pertukaran Singapura dan langkah fiskal serta makro yang cermat untuk membendung peningkatan kos sara hidup warga Singapura.
Beliau juga bertanya apakah alat lain yang boleh digunakan sekiranya kenaikan inflasi dan kadar faedah berterusan.
Encik Tharman berkata pendekatan pemerintah untuk menangani inflasi dan kesannya terhadap isi rumah adalah pelbagai serampang.
Dasar kewangan yang lebih ketat telah melembapkan inflasi yang diimport, manakala sokongan fiskal dan kredit yang disasarkan telah membantu warga Singapura yang terdedah untuk menghadapi peningkatan dalam kos sara hidup dan tekanan aliran tunai.
"MAS menganggarkan bahawa langkah dasar kewangannya sejak Oktober 2021 akan mengekang inflasi teras sebanyak purata 1.2 mata peratusan setiap tahun sepanjang 2022 hingga 2023. Dengan kata lain, sekiranya MAS tidak menyesuaikan dasar kewangan, inflasi teras akan menjadi secara purata 30 purata lebih tinggi," kata Encik Tharman.
"Memandangkan kenaikan mendadak dalam harga tenaga dan makanan global, adalah tidak mungkin atau wajar untuk dasar kewangan mengimbangi sepenuhnya kesannya. Bank pusat di negara lain juga tidak akan dapat mengimbangi sepenuhnya lonjakan harga global ini dalam tempoh terdekat. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan inflasi dunia mencapai 8.3 peratus tahun ini. Di sinilah sokongan fiskal pemerintah, untuk mengurangkan kesan inflasi ke atas keluarga berpendapatan sederhana dan lebih rendah, memainkan peranan," tambahnya.
Encik Tharman berkata selain harga yang meningkat, kadar faedah yang meningkat juga memberi kesan kepada warga Singapura.
Kadar faedah domestik berkemungkinan meningkat lebih lanjut seiring dengan kadar faedah global.
Ini akan menjejaskan kos pinjaman untuk pembelian rumah.
"Seperti yang Anggota sedia maklum, MAS dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru sahaja mengambil langkah untuk mengelakkan peminjaman berlebihan untuk pembelian rumah.
"Terdapat ketidakpastian yang ketara terhadap perkembangan kewangan dan ekonomi global. Ini menjejas negara-negara di seluruh dunia, termasuk Singapura. Pemerintah dan MAS akan terus menggunakan langkah fiskal, kewangan dan makro yang cermat mengikut kesesuaian, untuk mengurangkan tekanan inflasi dan membantu mengurangkan kesan kenaikan harga ke atas warga Singapura," kata Encik Tharman.
"Terdapat ketidakpastian yang ketara terhadap perkembangan kewangan dan ekonomi global. Ini menjejas negara-negara di seluruh dunia, termasuk Singapura. Pemerintah dan MAS akan terus menggunakan langkah fiskal, kewangan dan makro yang cermat mengikut kesesuaian, untuk mengurangkan tekanan inflasi dan membantu mengurangkan kesan kenaikan harga ke atas warga Singapura."
- Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam.