Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Inisiatif kurangi pengambilan garam di kalangan warga

HPB sasar kurangkan pengambilan sodium sekitar 15% dalam lima tahun
Sep 29, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA akan memulakan usaha untuk mengurangkan pengambilan sodium di kalangan warga dengan menawarkan lebih banyak pilihan garam lebih rendah sodium pada harga yang lebih dimampui.



Mengumumkan demikian dalam satu taklimat media baru-baru ini, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berkata ia menyasarkan untuk mengurangkan pengambilan sodium warga sekitar 15 peratus dalam masa lima tahun, dengan tumpuan kepada penggantian garam.



Ini adalah sebahagian daripada strategi tiga serampang yang dikongsi Kementerian Kesihatan (MOH) semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) awal tahun ini.



Menurut HPB, warga Singapura secara purata mengambil 3,600 miligram sodium sehari, iaitu hampir dua kali ganda had 2,000 miligram sodium sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).



Sodium penting dalam mengekalkan tekanan darah yang sihat tetapi pengambilan sodium yang berlebihan boleh menaikkan tekanan darah dan ini meningkatkan risiko seseorang mengalami strok dan serangan jantung.



Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional menunjukkan lebih sepertiga warga Singapura mengalami tekanan darah tinggi dalam tempoh 2019 hingga 2020 - naik 50 peratus daripada 2017.



Sekitar 75 peratus sodium dalam diet seorang warga Singapura adalah sodium yang 'ditambah' dan datang daripada garam, sos dan bahan perasa yang digunakan dalam masakan. Baki 25 peratus adalah sodium yang "tersembunyi" dalam makanan yang diproses.



Kebanyakan, atau dua pertiga, sodium yang 'ditambah' datang daripada garam, dan baki sepertiga datang daripada sos dan bahan perasa.



Untuk menangani ini, HPB akan bekerjasama dengan pembekal garam dan sektor perkhidmatan makanan menerusi Skim Pembangunan Bahan Lebih Sihat (HIDS) untuk menggalak penggantian garam biasa dengan garam lebih rendah sodium.



HPB juga akan memperhebatkan usaha sedia ada di bawah HIDS untuk menambah kepelbagaian sos dan bahan perasa rendah sodium.



Ia juga akan melancarkan kempen pengurangan sodium berbilang tahun di serata negara bulan depan.



HPB berkata pengurangan sekitar 15 peratus sodium dalam masa lima tahun yang disasarkan itu akan membolehkan warga mengurangkan 500 miligram sodium sehari.



Justeru ia kini sedang membangunkan produk garam lebih sihat dengan 30 peratus kurang sodium.



Ia juga telah menetapkan piawaian bagi garam lebih rendah sodium di bawah program Simbol Pilihan Lebih Sihat bagi membimbing perumusan semula industri.



Awal bulan depan, produk garam lebih rendah sodium yang lebih dimampui akan dilancarkan di pasar raya NTUC FairPrice dan Sheng Siong.



HPB juga sedang bekerjasama dengan peruncit utama untuk memperkenalkan garam lebih rendah sodium dalam jenama runcit menjelang tahun depan.



"Kami telah membangunkan geran HIDS di mana kami menyasarkan pembekal bahan perasa, sos dan garam lebih rendah sodium dan pembekal ini kemudian akan menawarkan pilihan lebih rendah sodium ini pada harga yang lebih dimampui kepada pengendali perkhidmatan makanan, untuk mereka membuat pertukaran kepada menggunakan pilihan lebih sihat ini dalam masakan mereka, dan dengan itu memberi manfaat kepada pelanggan yang membeli makanan daripada mereka," kata timbalan pengarah pembangunan strategi dan dasar HPB, Dr Eunice Pang.



Menurut HPB, kebanyakan garam lebih rendah sodium melibatkan penggantian separa sodium dengan potasium.



Ini bermakna pengambilan garam yang 30 peratus sodiumnya digantikan dengan potasium akan membantu warga meningkatkan pengambilan potasium harian mereka.



Potasium didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah.



Garam jenis ini, yang dikenali sebagai garam potasium, juga didapati mempunyai rasa yang serupa dengan garam biasa.



Sejauh ini hampir 150 syarikat katerer telah menukar kepada sos atau garam lebih rendah sodium.



HPB kini sedang bekerjasama dengan pengendali rantaian perkhidmatan makanan utama di serata negara, seperti pusat makanan dan kedai kopi Kopitiam dan NTUC Foodfare, untuk menggalak mereka menukar kepada garam lebih rendah sodium dalam penyediaan makanan.




SEKILAS



■ HPB sasar kurangi pengambilan sodium warga sebanyak sekitar 15 peratus dalam masa lima tahun



■ Pengurangan 15 peratus ini membolehkan warga mengurangkan 500 miligram sodium sehari



■ Tumpuan utama pada penggantian garam: daripada garam biasa kepada garam lebih rendah sodium



■ HPB sedang membangunkan rangkaian produk garam lebih sihat dengan 30 peratus kurang sodium. Sodium itu digantikan dengan potasium



■ Awal bulan depan, produk garam lebih rendah sodium yang lebih dimampui akan dilancarkan di pasar raya NTUC FairPrice dan Sheng Siong



■ HPB sedang bekerjasama dengan peruncit utama untuk memperkenalkan garam lebih rendah sodium dalam jenama runcit (house brand) menjelang tahun depan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >