Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Inovasi penerima Anugerah Presiden jadikan ilmu sains menarik

Sep 05, 2019 | 05:30 AM



SEBAGAI guru sains, Encik Mohamed Azhar Mohamed Noor sering memikirkan idea-idea menarik dan unik untuk menambat hati anak muridnya agar lebih memahami konsep yang sedang diajarkannya.



Misalnya, untuk mengajar topik tentang pergeseran atau 'friction', Encik Azhar, 41 tahun, tidak sekadar mengambil langkah konvensional di mana seorang guru mengajar terus dari buku teks dan mengharapkan murid memahaminya.



Sebaliknya, guru Sekolah Rendah Innova itu akan bercerita dengan anak muridnya seiring menerapkan konsep yang ingin diajar dengan menggunakan contoh seharian.



Untuk topik tersebut, beliau akan menceritakan rasa gerunnya setiap kali meluncur dari tempat tinggi yang mencuram.



"Saya akan meletakkan kededua belah tangan saya di tepi seakan menahan diri dan ini tanpa disedari akan membuat kulit telapak tangan saya adakalanya koyak sedikit kerana pergeseran itu tadi," kongsinya yang juga merupakan Ketua Jabatan Sains di sekolah itu.



Secara tidak langsung, anak muridnya akan lebih memahami konsep tersebut dengan hanya mengingati cerita yang dikongsinya.



Bagi mengajar topik tenaga atau 'energy' pula, Encik Azhar akan membawa kereta mainan kecil siap dengan tanjakan (ramp) untuk menjelaskan konsep tersebut.



"Saya memberitahu kelas untuk membawa kereta mainan bagi topik itu. Selalunya pasti ada pelajar yang akan terlupa untuk membawanya.



"Saya tidak sangka pada hari itu, semua pelajar membawa kereta mainan mereka sendiri.



"Tanpa disedari, dengan menggunakan mainan dan contoh sehari-hari, ia membakar semangat murid selain menanam rasa ingin tahu dalam hati mereka," ujar bapa dua anak berusia 11 tahun dan 13 tahun itu.



Berkat usahanya yang tidak pernah pupus mahu mendidik anak muridnya, Encik Azhar telah dinobatkan dengan Anugerah Presiden bagi Guru (PAT).



Beliau merupakan antara tujuh guru lain yang menerima anugerah tersebut daripada Presiden Halimah Yacob semasa Majlis Hari Guru di Istana, semalam.



Kesemua tujuh penerima itu telah dipilih atas komitmen mereka mahu terus membangunkan pelajar mencapai potensi terbaik selain menerapkan konsep inovatif di dalam kelas.



Para penerima telah dipilih daripada 16 finalis oleh sebuah panel yang dipengerusikan Cik Denise Phua, Pengerusi Jawatankuasa Parlimen bagi Pendidikan.



Tahun ini sejumlah 3,886 pendidik telah dicalonkan oleh pemimpin sekolah, guru, ibu bapa dan bekas pelajar.



Encik Azhar yang pernah menerima Anugerah Inovator Cemerlang Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2016 berkata anugerah yang diraihnya semalam itu memberinya perangsang untuk terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan anak-anak muridnya.



"Sebagai guru yang telah mengajar lebih 14 tahun, saya mahu membuat perbezaan kepada diri mereka.



"Lebih daripada sekadar menjadi guru sains yang menyebarkan ilmu kepada mereka, saya mahu membangunkan daya keyakinan mereka, melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan selain membangkitkan azam mereka untuk terus mahu menimba ilmu sepanjang hayat," ujarnya dengan penuh semangat.



Penerima anugerah PAT akan menyertai satu sidang luar negara serta lawatan belajar pada akhir tahun, sebagai sebahagian daripada pembangunan profesional mereka.




"Saya memberitahu kelas untuk membawa kereta mainan bagi topik (tenaga) itu. Selalunya pasti ada pelajar yang akan terlupa untuk membawanya. Saya tidak sangka pada hari itu, semua pelajar membawa kereta mainan mereka sendiri. Tanpa disedari, dengan menggunakan mainan dan contoh sehari-hari, ia membakar semangat murid selain menanam rasa ingin tahu dalam hati mereka."
- Pemenang Anugerah Presiden bagi Guru, Encik Mohamed Azhar Mohamed Noor, guru sains dari Sekolah Rendah Innova.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >