Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Insiden foto hiasan Hari Raya: PA tolak dakwaan perkauman

Jun 15, 2021 | 05:30 AM



PERSATUAN Rakyat (PA) menolak dakwaan bahawa kejadian menggunakan gambar perkahwinan sepasang mempelai Melayu/Islam sebagai papan kadbod, atau standee, dengan wajah mereka dipotong, sebagai satu perhiasan sambutan Hari Raya di Radin Mas bersifat perkauman.



Ini walaupun ia mengakui kesilapan itu adalah tidak sensitif dari segi budaya, kata PA dalam satu kenyataannya di Facebook semalam.



Gambar perkahwinan yang dijadikan papan kadbod itu ialah gambar persandingan Cik Sarah Bagharib dan suaminya, Encik Razif Abdullah.



Cik Sarah telah memaklumkan kepada PA pada 28 Mei bahawa Pejabat Kawasan Undi Radin Mas menggunakan gambarnya tanpa izin dan secara tidak sesuai bagi Hari Raya.



PA kemudian telah mengalihkan papan kadbod itu dan meminta maaf kepada pasangan tersebut.



Dalam kenyataan Facebooknya semalam PA berkata mereka telah menawarkan peluang untuk bertemu Cik Sarah dan Encik Razif untuk meminta maaf secara peribadi.



Menurut PA, semasa pertemuan itu ia mahu menjelaskan pendiriannya, memberi keterangan tentang langkah-langkah yang telah diambil bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang, dan mendengar saranan Cik Sarah tentang cara PA boleh membuat peningkatan.



"Dalam pertukaran e-mel kami, kami telah menjelaskan kepada Cik Sarah bahawa PA menghargai keharmonian kaum dan agama di Singapura.



"Kami juga telah menjelaskan bahawa sementara kami mengakui kakitangan kami seharusnya lebih sensitif dari segi budaya, kita tidak harus membuat kesimpulan umum daripada kejadian ini," kata PA.



PA, bagaimanapun, menolak beberapa dakwaan yang dibuat Cik Sarah berkenaan kejadian itu, termasuk bahawa ia "mengekalkan budaya perkauman" dan ia satu kejadian "rasis".



Menyusuli kejadian itu, Cik Sarah muncul sebagai tetamu dalam satu sesi wawancara bersama Encik Walid Jumblatt Abdullah yang diadakan secara langsung di Instagram pada 7 Jun.



PA turut menolak komen oleh Cik Sarah semasa wawancara itu yang membayangkan kakitangan dan relawan PA mendapati tidak ada apa-apa salah mengenai papan kadbod itu kerana mereka mungkin "buta terhadap perkauman".



"Ini adalah dakwaan yang kami tolak. Walaupun kesilapan itu tidak sensitif dari segi budaya, ia tentu sekali bukan bersifat perkauman.



"Adalah tidak betul untuk menimbulkan dakwaan perkauman, tanpa asas, untuk mengapi-apikan emosi dan sentimen," kata PA.



PA juga berkata ia mendapati pelik bahawa Cik Sarah berkongsi dalam catatan awamnya baru-baru ini bahawa beliau akan bertemu PA, dan meminta orang awam "tolong kongsi mesej/saranan anda kepada PA di sini dan kami akan berkongsinya".



PA berkata ia tidak melihat mengapa pertemuan itu harus digunakan sebagai wadah bagi Cik Sarah menyalurkan pandangan dan komen individu yang tiada kaitan dengan kejadian itu.



"Semua ini membuat kami percaya bahawa tujuan beliau setuju bertemu kami melampaui kejadian Radin Mas.



"Oleh itu, kami lihat tiada gunanya meneruskan pertemuan ini," kata PA.



PA berkata meskipun insiden di Radin Mas itu adalah satu kejadian terpencil, ia menunjukkan pertubuhan itu boleh melakukan kesilapan.



Ia bersetuju adalah penting bagi kakitangan dan relawannya bersikap sensitif dan berpengetahuan tentang budaya semua kumpulan etnik Singapura, dan akan menyediakan sumber dan latihan bagi tujuan itu.



"Kami kini sedang berusaha menubuhkan panel sumber untuk membimbing dan menasihatkan kakitangan kami tentang hal budaya.



"Kami juga akan mempertingkat usaha latihan untuk meningkatkan pemahaman dan penghargaan kakitangan dan relawan mengenai budaya kita yang berbeza.



"Usaha menjadikan warga Singapura "satu rakyat" adalah kerja berterusan - dan begitu juga PA," katanya.




"Ini adalah dakwaan yang kami tolak. Walaupun kesilapan itu tidak sensitif dari segi budaya, ia tentu sekali bukan bersifat perkauman. Adalah tidak betul untuk menimbulkan dakwaan perkauman, tanpa asas, untuk mengapi-apikan emosi dan sentimen."
- Persatuan Rakyat (PA), menolak komen Cik Sarah Bagharib yang membayangkan kakitangan dan relawan PA mendapati tidak ada apa-apa salah mengenai papan kadbod itu kerana mereka mungkin "buta terhadap perkauman".




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >