SEORANG lelaki didapati bersalah semalam atas kesalahan mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan semasa bertugas sebagai instruktor memandu pada 2018.
Dalam satu insiden berlainan, ketika kededua mereka memandu ke kawasan Lim Chu Kang, instruktor tersebut, Soh Guan Hup, kini 61 tahun, berjenaka bahawa dia boleh merogol wanita itu di sana dan tiada siapa yang akan tahu kerana kawasan itu "begitu senyap dan gelap", kata pihak pendakwaan.
Wanita itu, kini 25 tahun, tidak boleh dinamakan di bawah perintah bagi melindungi identitinya.
Selepas perbicaraan semalam, Hakim Daerah, Cik Melissa Tan, mendapati Soh bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan.
Dia diberi pelepasan atas tuduhan mencabul kehormatan buat kali kedua yang melibatkan wanita yang sama.
Ini kerana hakim berpendapat, antara lain, keterangan wanita yang dikaitkan dengan tuduhan itu kurang terperinci.
Sebagai contoh, wanita itu tidak ingat jika kereta itu bergerak atau tidak bergerak apabila Soh dikatakan mencabul kehormatannya.
Mereka yang diberi pelepasan sedemikian tidak boleh didakwa lagi dengan kesalahan yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Koh Yi Wen berkata dalam hujahnya bahawa wanita itu menghadiri 24 kelas latihan memandu bersama Soh antara 25 Mei 2017 dengan 3 Mac 2018.
DPP Koh berkata: "Pada 3 Mac 2018, tertuduh sedang memberi mangsa arahan lisan mengenai tempat letak kereta semasa mereka berada di tepi jalan di kawasan Choa Chu Kang apabila mangsa berasa sesuatu di bahagian payu daranya dan ia membuat mangsa berasa sangat tidak selesa.
Mangsa telah membuat laporan polis pada 31 Disember 2020.
Soh diwakili peguam Encik Bryan Lim dan pembelaannya adalah penafian yang jelas.
Menurut Soh, dia telah mengelak daripada membuat sentuhan fizikal dengan mangsa ketika mereka sedang memandu kerana itu akan mewujudkan situasi yang berbahaya.
Soh juga mendakwa bahawa jika dia telah membuat apa-apa sentuhan fizikal dengan mangsa semasa kelas latihan, ia bukan secara sengaja.
Mitigasi dan hukuman akan berlangsung pada 20 Februari 2023.
Bagi kesalahan mencabul kehormatan, seseorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, dirotan atau menerima sebarang gabungan hukuman tersebut.
Namun, Soh tidak boleh dirotan kerana dia berusia lebih 50 tahun.