Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN

Islam Inklusif: Pengertian dan kepentingannya

Mar 08, 2020 | 05:30 AM



APAKAH sebenarnya yang dimaksudkan dengan Islam Inklusif? Ada segelintir umat Islam yang mendakwa pemahaman Islam Inklusif ini menjurus kepada kesesatan dan terkeluar daripada landasan agama.



Pemahaman sebenarnya tentang maksud Islam Inklusif ini harus dijelaskan demi mengelakkan salah faham. Ini penting kerana sikap inklusif perlu dalam konteks kehidupan sosial hari ini.



APA ITU ISLAM INKLUSIF?



Perkataan inklusif berasal dari kalimat bahasa Inggeris 'inclusive' yang bererti merangkumi, penerimaan, pertimbangan dan tidak mengecualikan yang lain.



Islam Inklusif pula diertikan sebagai pemahaman Islam yang bersifat:



  • Terbuka dan menerima kepelbagaian serta menghargai perbezaan. Ini juga termasuk perbezaan dalam agama; dan

  • Fleksibel dan sederhana.

Namun, kriteria terpenting adalah apa jua bentuknya, ia haruslah tidak tersasar daripada prinsip ajaran dan nilainya.



Islam itu lebih daripada hanya sebuah agama atau kepercayaan. Ia merupakan satu sistem kehidupan yang syumul merangkumi pelbagai aspek dan dimensi termasuk ibadah, sosial, politik dan sebagainya.



Yang lebih penting daripada itu, Islam merupakan himpunan nilai-nilai yang membawa kepada peninggian peradaban manusia, kedamaian dan kesejahteraan sejagat.



Inilah teras dan maksud utama ajaran Islam.



ISLAM YANG WASATI (SEDERHANA)



Di Nusantara ini, Islam Inklusif juga dikenali sebagai Islam yang wasati (sederhana) dan juga Islam Nusantara.



Secara khusus, Islam Nusantara merujuk kepada pemahaman dan pengamalan Islam yang mengambil kira budaya serta adat istiadat tempatan di negara tersebut.



Islam yang inklusif ini juga penting untuk membidas fahaman Islam yang bersifat tegar serta jumud.



Seseorang yang berfahaman eksklusif menolak pandangan orang lain dan hanya menerima pandangan diri sendiri sahaja. Ia bercanggah dengan nilai inklusif yang sangat digalakkan Islam.



CONTOH UNGGUL SIKAP INKLUSIF NABI MUHAMMAD SAW



Konsep Islam Inklusif ini tidak terlepas dari sejarah Nabi Muhammad saw.



Ajaran yang dibawa Nabi sejajar dengan tujuan datangnya agama ini sebagai agama yang menitik beratkan sifat rahmah dan terbuka.



Lihat sahaja bagaimana Nabi bersikap inklusif dengan sesiapa sahaja tidak kira latar belakang mereka.



Contoh terbesar sikap inklusif Nabi ini dapat dilihat ketika Baginda membangun hubungan dengan golongan bukan Muslim yang telah melahirkan Piagam Madinah.



Isi dari piagam tersebut dimuatkan dengan gagasan-gagasan yang dirancang oleh Nabi sendiri dalam rangka membangun masyarakat madani melalui prinsip kemanusiaan yang universal.



Secara ringkas antara prinsip-prinsip utama dalam Piagam tersebut yang dipercayai masih relevan dan penting untuk dipraktikkan hari ini adalah prinsip-prinsip inklusif, persaudaraan, persamaan, kebebasan, perdamaian, musyawarah, keadilan, kepimpinan, melindungi pihak yang tertindas, hidup bertetangga, pelaksanaan hukum dan amar ma'ruf nahi munkar.



ISLAM INKLUSIF MENURUT CENDEKIAWAN ISLAM



Toko pemikir Islam Nusantara, Dr Alwi Shihab, dalam bukunya berjudul Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama menjelaskan bahawa dakwah dalam Islam seharusnya mengarah kepada mewujudkan ummatan wasata (umat yang sederhana).



Namun maksud sederhana ini ialah mencapai titik pertimbangan yang akan membawa peningkatan tinggi dalam kualiti hidup beragama.



Beliau menambah bahawa dakwah harus ditujukan untuk menghidupkan kembali semangat Islam yang dapat menjadikan setiap Muslim duta bagi Islam.



Demi menjadi duta Islam yang unggul, umat Islam perlu menghindari sifat ekstremisme yang membuta-tuli dalam penyampaian dakwah.



Secara ringkasnya, Islam Inklusif menurut Dr Alwi adalah Islam yang dibangunkan atas landasan pemahaman bahawa perbezaan dan perubahan itu merupakan sunnatullah.



Atas tujuan kemakmuran Islam dalam apa jua masa dan keadaan, ia memerlukan semangat tolak-ansur dan hikmah dalam beragama.



KESIMPULAN



Usaha yang perlu dilakukan untuk mewujudkan Islam Inklusif adalah inisiatif- inisiatif tentang perbandingan agama dan dialog antara agama.



Ini penting untuk menemukan titik-titik persamaan dengan agama lain.



Dalam masa yang sama, kajian juga perlu untuk melakarkan perbezaan asas yang tidak harus dicerobohi demi menjamin kesucian Islam dan sebagai panduan dalam kehidupan sehari-harian.




  • Dr Mohamed Ali ialah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP), RSIS (Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam), NTU (Universiti Teknologi Nanyang). Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai.


NILAI INKLUSIF YANG DIGALAK ISLAM



Di Nusantara ini, Islam Inklusif juga dikenali sebagai Islam yang wasati (sederhana) dan juga Islam Nusantara. Secara khusus, Islam Nusantara merujuk kepada pemahaman dan pengamalan Islam yang mengambil kira budaya serta adat istiadat tempatan di negara tersebut. Islam yang inklusif ini juga penting untuk membidas fahaman Islam yang bersifat tegar serta jumud. Seseorang yang berfahaman eksklusif menolak pandangan orang lain dan hanya menerima pandangan diri sendiri sahaja. Ia bercanggah dengan nilai inklusif yang sangat digalakkan Islam.
- Dr Mohamed Ali. 




LIMA CIRI PENTING ISLAM INKLUSIF



  1. Bersifat terbuka terhadap nilai-nilai kebenaran yang bersumber dari luar Islam. Tentu sahaja nilai-nilai tersebut tidak bertentangan dengan ajaran yang bersumber dari Al-Quran dan hadis. 

  2. Menyedari adanya nilai-nilai kebenaran dan kebaikan dalam agama lain. Namun, ia yakin bahawa agama yang dipeluknya adalah paling benar serta menghormati agama lain.

  3. Membentuk Muslim menjadi lebih luhur dalam budi pekerti sesama manusia. Dengan mempunyai sikap yang inklusif, seorang Muslim dapat memilih jalan sendiri tanpa mengutuk atau memperkecilkan yang lain.

  4. Melahirkan dalam diri Muslim tiga sifat terpuji iaitu Tasamuh (toleransi), 'Adl (keadilan) dan menghormati norma-norma budaya tempatan selama budaya tersebut tidak bertentangan dengan ajaran dasar Islam.

  5. Menghargai hikmah kepelbagaian sebagai wadah untuk berkenalan antara satu sama lain. Kepelbagaian menjadi wadah untuk kita kenal-mengenal antara sesama secara hormat dan terbuka serta mencedok ilmu baru lagi bermanfaat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >