Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIDANG PERSPEKTIF SINGAPURA

Isu identiti kaum terus jadi cabaran: Panelis

Perlu ada garisan pisah antara negara, agama dan politik
Jan 16, 2021 | 05:30 AM



ISU yang timbul daripada identiti kaum dan sosial akan terus menjadi cabaran yang perlu ditangani masyarakat pada masa akan datang.



Namun, menurut ahli panel di sesi perbincangan tentang identiti dan perpaduan di forum Singapore Perspectives kelmarin, cara terbaik untuk menanganinya akan terus menjadi satu tanda tanya dengan tiada penyelesaian yang mudah.



Ketua Program Pengajian Hubungan Silang Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Encik Mohammad Alami Musa, berkata, antara soalan utama yang perlu ditanya ialah di manakah melakar garis yang memisahkan antara negara, agama dan politik.



Khususnya, ketegangan mungkin akan timbul berhubung dengan pertimbangan yang boleh atau harus diambil golongan yang tidak mempunyai agama dalam isu di ruang awam, ujarnya semasa bercakap di forum anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) itu yang diadakan di dalam talian.



"Orang yang tiada agama juga akan mahu menyertai perbincangan kerana mereka percaya bahawa walaupun mereka tidak beragama (mereka) mempunyai kebijaksanaan dan kewajaran moral untuk menyumbang kepada prinsip moral dan pertimbangan isu yang penting kepada orang ramai," ujar Encik Alami, seperti yang ditukil akhbar The Straits Times.



Beliau, yang juga Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Algeria, berkata terdapat juga trend tertentu yang masyarakat perlu hadapi termasuk subkumpulan yang inginkan lebih pengiktirafan daripada negara tentang isu seperti seksualiti, belia yang memberi lebih tumpuan kepada keadilan sosial serta populisme, sikap xenofobia dan nasionalisme ekonomik yang kian meningkat.



Zamil presiden dalam bidang masa depan bandar di Universiti Chapman di Amerika Syarikat, Profesor Joel Kotkin, pula berkata Amerika - yang menghadapi pencerobohan di bangunan Capitol oleh sekumpulan penyokong Presiden Donald Trump baru-baru ini - boleh mempelajari banyak perkara daripada model berbilang budaya Singapura yang unik.



"Terdapat beberapa perkara yang dilakukan di Singapura namun dianggap tidak mengikut perlembagaan Amerika," katanya.



Beliau merujuk dasar seperti Dasar Integrasi Etnik (EIP) untuk perumahan awam yang diperkenal pada 1989 untuk memastikan keseimbangan gabungan kumpulan etnik yang tinggal di estet HDB bagi menggalak keharmonian kaum dan memperkukuh perpaduan sosial.



"Keadaan kami sangat berbeza dan banyak yang boleh kami pelajari," ujarnya.



Ahli panel perbincangan yang turut disertai moderator Ketua Makmal Sosial IPS Dr Mathew Mathews itu juga membincangkan tentang istilah 'Chinese privilege' atau hak istimewa masyarakat Cina.



Ini bererti kelebihan yang masyarakat itu ada sebagai kaum majoriti di sini, serupa 'white privilege' atau hak istimewa warga kulit putih di Amerika.



Apabila ditanya sama ada ia relevan di Singapura, ahli panel perbincangan itu berkata ini satu istilah yang tidak boleh dianggap secara umum dengan mudah.



Timbalan ketua Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Daniel Goh, berkata masalahnya, konsep hak istimewa orang Cina ini kurang dibincangkan dan ditetapkan.



"Ini tidak boleh menjadi sesuatu yang sama dengan hak istimewa orang putih kerana Amerika mempunyai sejarah yang amat berbeza dengan hubungan antara kaum berbanding Singapura," ujarnya.



Terdapat beberapa konsep yang digunakan di Singapura untuk membincangkan contoh hak istimewa orang Cina termasuk stereotaip kaum, diskriminasi dan sifat perkauman, tambahnya.



Pengerusi dan pengasas bersama badan tidak meraih keuntungan People-Centered Internet yang berpangkalan di Amerika, Cik Mei Lin Fung, berkata isu kaum harus dibincang menerusi dialog terbuka daripada bergantung pada istilah seperti hak istimewa orang Cina.




"Di sini, orang muda amat sedar dan mempunyai perspektif dan pandangan mengenai pelbagai isu, termasuk isu sensitif kaum, agama dan budaya, bahkan subjek sukar seperti jantina, kelas, seksualiti dan sebagainya. Mereka jadi begini bukan hanya sekadar kerana hendak ambil tahu sahaja, bahkan mereka mempunyai kesedaran sosial dan ingin terlibat secara sosial."
- Encik Mohammad Alami Musa, Ketua Program Pengajian Hubungan Silang Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >