Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Isu kerja, kos hidup 'paling penting' bagi pengundi Melayu

Ciri pemimpin yang bekerja keras, komited turut diutamakan semasa membuang undi: Tinjauan IPS
Oct 02, 2020 | 05:30 AM



Selepas Singapura mengundi pada 10 Julai lalu, Institut Pengajian Dasar (IPS) telah menjalankan satu tinjauan melibatkan lebih 4,000 warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas untuk memahami sikap dan kelakuan pengundi. Tinjauan yang berlangsung dari 11 Julai hingga 21 Ogos itu dikendali menerusi panggilan ke telefon bimbit dan talian rumah serta di dalam talian. Tinjauan tersebut antara lain mengkaji sama ada isu Covid-19 memainkan peranan dalam pilihan raya umum lalu, pengaruh berkempen di dalam talian berbanding bentuk komunikasi lain serta segmen mana yang mungkin menjejas sokongan bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP). Berikut antara dapatan tinjauan itu.




SOAL pekerjaan dan kos kehidupan merupakan antara dua isu yang dianggap 'paling penting' terutama dalam kalangan para pengundi Melayu semasa mengundi dalam Pilihan Raya Umum (GE) yang baru lalu.



Di samping itu, ciri-ciri calon pemimpin politik yang bekerja keras atau komited turut disifatkan sebagai ciri yang 'paling penting' bagi masyarakat Melayu dalam membentuk keputusan undian mereka.



Demikian menurut Tinjauan Pos GE Institut Pengajian Dasar (IPS), yang dilakukan dari 11 Julai hingga 21 Ogos lalu. GE tahun ini diadakan pada 10 Julai lalu.



Dalam tinjauan itu, tiga daripada 15 isu yang disenaraikan dipilih sebagai yang 'paling penting' di samping isu mengenai pemerintah yang berkesan dan cara pemerintah menangani Covid-19.



Bilangan responden yang memilih tiga isu itu sebagai yang 'paling penting' melonjak dengan ketara sebanyak 9 peratusan mata, dan juga yang tertinggi dalam kalangan isu-isu yang diketengahkan, berbanding dengan dapatan yang sama yang dilakukan selepas GE pada 2015.



Isu berkenaan pekerjaan amat penting bagi masyarakat Melayu serta mereka yang berusia dari 30 hingga 54 tahun dengan pendapatan bulanan antara $2,000 dengan $6,999. Ia meningkat daripada 19 peratus pada 2015 kepada 28 peratus tahun ini.



Isu itu juga penting bagi masyarakat India dan kaum lelaki.



Selain itu, isu kos kehidupan juga lebih penting bagi masyarakat Melayu dan India, serta responden yang berusia antara 30 dengan 54 tahun, bekerja dan meraih pendapatan bulanan antara $2,000 dengan $6,999.



Isu ini juga menjadi keprihatinan pemegang diploma, serta pemilik flat HDB empat, lima atau enam bilik.



Berbanding dengan 2015, peratusannya meningkat daripada 38 peratus kepada 47 peratus.



Sementara itu, ciri-ciri calon pemimpin yang bekerja keras atau komited amat penting bagi masyarakat Melayu dan India serta pemegang sijil menengah hingga diploma.



Menurut Zamil Pos-Kedoktoran Makmal Sosial IPS, Dr Teo Kay Key, ciri tersebut turut menjadi keprihatinan utama pengundi Melayu semasa tinjauan 2015.



"Kita dapat lihat ada keutamaan yang diberikan kepada ciri tersebut bagi masyarakat Melayu tetapi kami tidak pasti sama ada ia mempunyai kaitan langsung dengan etnik atau faktor lain yang turut mempunyai kaitan dengan etnik seseorang," ujarnya.



Ini turut dipersetujui Profesor Madya Tan Ern Ser, dari Jabatan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).



Menurutnya, isu mengenai kelas yang merangkumi pekerjaan atau pendapatan, adalah lebih penting daripada etnik seseorang.



"Meski ada perbezaan antara kaum Cina dan Melayu misalnya, ia mungkin bukan kerana kumpulan etnik tetapi ia mungkin disebabkan isu kelas," ujarnya.



Daripada segi perangkaan untuk meninjau kredibiliti sesebuah parti, kesemua kumpulan etnik mencatatkan kemerosotan berbanding 2015 apabila ditanya sama ada mereka "amat setuju atau setuju" bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebuah parti yang boleh dipercayai.



Bagi kaum Melayu, peratusannya merosot daripada 91.1 peratus pada 2015 kepada 82.2 peratus.



Keadaannya serupa bagi kaum Cina di mana peratusannya turun dari 93 peratus pada 2015 kepada 86 peratus manakala kaum India pula turun daripada 94.5 peratus pada 2015 kepada 89.4 peratus.



Berhubung kredibiliti Parti Pekerja (WP) pula, perangkaan responden yang memilih 'amat setuju atau setuju' bahawa parti itu boleh dipercayai, sebaliknya meningkat berbanding 2015 bagi semua kumpulan etnik.



Bagi masyarakat Melayu, terdapat lonjakan 6.1 peratus, daripada 81.2 peratus berbanding 87.3 peratus.



Perangkaannya juga melonjak dalam kalangan responden Cina iaitu dari 68.7 peratus kepada 77.5 peratus manakala dalam kalangan responden India pula, ia meningkat daripada 74 peratus kepada 84.5 peratus.



Bagi responden lain, ia meningkat dengan ketara daripada 64.1 peratus pada 2015 kepada 86.2 peratus.



Mengulas, Dr Gillian Koh, Timbalan Pengarah (Penyelidikan) dan Zamil Penyelidikan Kanan IPS, berkata:



"Tiada perbezaan ketara bagaimana responden menjawab pertanyaan berhubung kredibiliti PAP merentasi pelbagai kumpulan etnik.



"Tetapi bagi WP, terdapat perbezaan kecil (daripada segi peratusan) dalam kalangan kumpulan etnik namun bukan bagi kaum Melayu, tetapi bagi golongan minoriti kaum India dan lain-lain."



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >