Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Isu kesihatan tidak halang capai kejayaan

Setempat
27
0

KEPUTUSAN GCE PERINGKAT 'N'

Isu kesihatan tidak halang capai kejayaan

Dec 18, 2020 | 05:30 AM

BAK kekata ada pelangi selepas hujan, ada senyuman setelah tangisan, ada kekuatan setelah diuji, begitu harapan pelajar Sekolah Menengah Bowen Nuraini Mohamed Faizal, yang cekal menghadapi liku-liku hidup.

Semalam, Nuraini, 16 tahun, antara 9,321 pelajar menengah empat aliran Normal (Akademik) yang lulus GCE peringkat 'N' mereka tahun ini.

Nuraini disahkan menghidapi polip adenoma keturunan, atau familial adenomatous polyposis, ketika di menengah satu. Ia adalah kondisi diwarisi yang menyebabkan pembangunan sebilangan besar polip adenoma pada usia muda.

Polip, iaitu pertumbuhan tisu tidak normal, tidak berbahaya pasda mulanya tetapi akan berubah menjadi barah kolon sekiranya pesakit tidak menjalani pembedahan.

Ibu Nuraini menghidapi kondisi sama dan akauntan di sebuah syarikat kejuruteraan itu kini pesakit barah kolon tahap dua.

Disebabkan kondisinya, Nuraini harus menjalani pemeriksaan endoskopi setiap tahun untuk memastikan polip dalam tubuhnya tidak menjadi barah.

Tahun lalu pula, dia disahkan menghidapi anemia, yang memerlukan pemindahan darah setiap tiga bulan.

"Saya rasa sedih dan terkejut kerana tidak sangka pada usia muda, saya harus lalui perkara sebesar ini," ujar Nuraini, yang berkata dia mudah rasa letih, tiada selera makan dan harus kerap ke tandas akibat simptom kondisi itu.

Ia bermakna Nuraini tidak dapat turut serta sepenuhnya kegiatan aktif seperti kelas jasmani di sekolah.

Anak kedua dalam empat adik-beradik itu juga terpaksa menukar kegiatan kokurikular yang diminatinya, tarian Melayu, kepada sesuatu yang tidak begitu lasak, iaitu kelab perpustakaan. Nuraini menjadi naib presiden kelab perpustakaan sekolahnya.

Walaupun tidak dapat menjalani kehidupan seperti rakan sebayanya, remaja itu tetap optimistik.

"Saya harus terus tabah mengharungi hidup kerana saya tahu akan ada pelangi selepas ribut taufan. Meskipun pelangi itu tidak muncul sekarang, tetap berbaloi untuk saya mencuba sedaya upaya dan mencapai cita-cita saya," ujar Nuraini, yang ingin menjadi peguam.

Sokongan di sekolah turut memainkan peranan penting untuk Nuraini dapat menduduki GCE peringkat 'N' tahun ini.

Antara lain, guru kelasnya, Cik Dorothy Lim, dan Ketua Tahun, Cik Bernice Kuan, tidak putus menunjukkan keprihatinan dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

Arwah neneknya, yang menghidapi barah kolon pada 2016 dan meninggalkan dunia pada tahun berikutnya, juga menjadi tunggak kekuatan bagi Nuraini meneruskan kehidupan.

"Dia tidak pernah hilang keyakinan dan teruskan kehidupan seperti biasa. Dia tidak pernah merungut betapa barah itu membawa kesedihan dalam hidupnya.

"Dia selalu ingatkan saya supaya bersyukur dengan segala-galanya kerana penyakit ini sudah takdir," tambah Nuraini, yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam jurusan media dan desain kelak.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3