Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Isu 'teman mesra', kurang nafkah antara punca perceraian

Sep 20, 2019 | 05:30 AM

HIDUP berpasangan adalah fitrah semula jadi dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang dengan malam, pasang dan surut.

Begitu juga dengan manusia, melalui perkahwinan menemukan pasangan untuk mengharungi segala suka duka kehidupan.

Perkahwinan dapat merubah hidup seseorang yang dahulunya terumbang-ambing kepada lebih berwawasan.

Ada banyak ayat Al-Quran mengenai syariat perkahwinan memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia.

Namun dalam perkahwinan juga ada perceraian.

Ia menjadi satu kebimbangan dalam masyarakat kerana ianya boleh membawa kesan buruk kepada keluarga, khususnya anak-anak.

Menurut Ustaz Md Irwan Shah Sudiman, secara purata terdapat 5,669 pernikahan di Singapura dalam setahun.

Maksudnya, terdapat kira-kira 16 pernikahan setiap hari.

Dari 2008 hingga 2018, terdapat lebih kurang 1,781 kes perceraian berlaku di Singapura.

Ustaz Irwan Shah, yang merupakan Naib Kadi, berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah bertajuk 'Antara Sebab-Sebab Peningkatan Kadar Penceraian' baru-baru ini.

Beliau menjelaskan:

"Antara punca perpisahan adalah keganasan rumah tangga, kemandulan, masalah kewangan, dan kecurangan. Di sini, saya tidak ingin membicarakan tentang salah sesiapa. Tetapi, kita ingin mendalami tentang apakah punca terjadinya kesalahan sedemikian."

PASANGAN MEMPUNYAI 'TEMAN MESRA'

"Kadang-kadang Allah datangkan seseorang yang ingin menggoda kita bagi menguji tahap kesetiaan dan kejujuran kita. Ramai yang tumpas. Berpisah dengan isteri atau suami kerana curang dengan orang lain.

"Berkomunikasi dengan seseorang yang berlainan jantina ada musibahnya. Jadi, kita perlu sentiasa berhati-hati. Walaupun kita beranggapan bahawa mereka hanyalah kawan, namun syaitan akan menjalankan tugasnya. Akhir sekali, kita akan tertarik dengan orang tersebut. Kita tidak ada penghayatan agama, kita tidak menasihati antara satu sama lain, maka penceraian boleh berlaku," jelas Encik Irwan Shah.

SUAMI TIDAK MEMBERI NAFKAH

Terdapat kisah isteri yang ingin bercerai kerana mendakwa suami tidak memberi nafkah.

"Walaupun suami sudah menyediakan tempat tinggal dan keperluan asas selama 14 tahun, namun si isteri mendakwa suaminya tidak memberikan duit nafkah secara bulanan. Saya bertanya kepada si isteri, kenapa dia berkata begitu? Dia menjawab bahawa semua kawan-kawannya berkata bahawa si suami wajib memberi duit secara bulanan.

"Apa yang dikatakan itu ada kebenaran. Tetapi kita semua harus faham. Selagi mana si isteri mendapat tempat tinggal, pendidikan agama dan keperluan asas, itu ialah nafkah.

"Namun, kita sedang membicarakan tentang nafkah lain iaitu duit. Nafkah ini terjadi apabila isteri memberi syarat kepada suaminya supaya memberikan duit bulanan.

"Jika si isteri meminta $100, si suami perlu berikan, jika ada kemampuan. Jika suami tidak membayar nafkah tersebut, ianya dianggap sebagai hutang terkumpul.

"Sekiranya suami tidak memberikan nafkah tersebut pada bulan ini, maka suami wajib membayar $200 kepada isteri untuk pada bulan seterusnya.

"Ada isteri yang tidak meminta lebih dan ada yang meminta tambahan. Ikutlah pada kesesuaian serta persetujuan bersama dan bukannya berdasarkan pendapat orang lain."

"Jadi, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih awal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku," kata Ustaz Irwan Shah.

KURANG PENGHAYATAN AGAMA

Faktor perpisahan juga adalah disebabkan oleh kurang penghayatan dan pengamalan agama secara ikhlas dalam ikatan perkahwinan.

"Kita tidak belajar tentang agama. Kita tidak mengambil tahu tentang rukun-rukun yang sepatutnya. Ada orang yang mengamalkan agama dalam perkahwinan, namun ianya tidak ikhlas.

"Mereka mengamalkan agama hanya kerana sebab-sebab tertentu. Hal ini demikian kerana, rata-rata daripada pasangan yang ingin bercerai ini, tidak mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam sejati, khususnya bab solat," kata Ustaz Irwan Shah lagi.

PERINTAH ALLAH TENTANG SOLAT

"Dalam surah Al-Baqarah, ayat yang ke-227 sehingga 237, Allah telah menceritakan perkara-perkara yang berkaitan dengan talak."

"Namun, yang hebatnya, ayat tersebut disambung dengan perintah solat menerusi ayat yang ke-238 dalam surah Al-Baqarah."

Firman Allah yang bermaksud:

"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk." (2:238)

Ustaz Irwan Shah menyebut lagi, "dalam ayat yang ke-239 juga, Allah tekankan tentang solat. Kemudian, Allah sambung balik ayat yang ke-240 mengenai urusan talak.

"Para ulama mengambil kesimpulan bahawa antara punca penceraian dalam rumah tangga adalah kerana kita gagal menjaga perintah solat. Apabila kita menjaga solat, kita lebih senang untuk berdamai. Contohnya, jika ada perselisihan faham, kita dapat solat bersama-sama dan menjernihkan keadaan."

"Jika kita tidak menjaga solat, khususnya solat berjemaah, maka di situlah kita akan hilang panduan daripada Allah."

  • Ustaz Irwan Shah merupakan lulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Perundangan Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga berkhidmat sebagai eksekutif imam di Masjid Kassim dan dilantik sebagai Naib Kadi oleh Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Muslim (ROMM).

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian