Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Isu tudung jururawat: Pelbagai pihak main peranan sepanjang proses rundingan

Pemimpin masyarakat, pertubuhan beri gambaran usaha belakang tabir hingga keizinan tercapai
Sep 04, 2021 | 05:30 AM



PERBINCANGAN, dialog dan rundingan antara pemerintah dan pelbagai pihak berkepentingan mengenai isu pemakaian tudung bagi kakitangan sektor penjagaan kesihatan dijalankan secara meluas, terbuka, jujur serta dalam semangat memelihara hubungan harmoni masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.



Memberi gambaran mengenai apa berlaku di balik tabir, pihak terlibat dalam proses tersebut memberitahu Berita Harian walaupun memakan masa, proses panjang itu ialah demi kepentingan masyarakat Islam sendiri, dan Singapura amnya.



Mantan presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Maarof Salleh, berkata dalam perbincangan tersebut, beliau dan rakan-rakan memberi keterangan mengapa masyarakat Islam mahukan keizinan memakai tudung bagi jururawat sebagai satu keperluan dan bukan satu perkara yang menimbulkan masalah kepada masyarakat majmuk di sini.



Pemerintah pula mengetengahkan perkara itu dalam konteks masyarakat berbilang kaum, termasuk kemungkinan ada tanggapan masyarakat lain yang kurang mengerti atau sudah dipengaruhi apa yang berlaku di dunia hingga menimbulkan kebimbangan.



"Yang penting ialah bagaimana kebimbangan ini dapat dikurangkan dan ini boleh dilakukan dengan pemberian maklumat lebih betul dan tepat.



"Masyarakat Islam juga harus mainkan peranan dengan tidak mengetengahkan perkara ini dalam bentuk yang boleh menimbulkan kebimbangan secara berterusan, memandangkan pergolakan yang berlaku di dunia melibatkan masyarakat Islam dengan gambaran ketaksuban mereka kepada agama.



"Jika ini dapat diperbetulkan dari masa ke masa, dan mungkin ini sudah berlaku, kita harap ada keterbukaan dalam penerimaan masyarakat bukan Islam dalam hal ini, dan juga hal lain," ujar beliau.



BAYANGAN DIBERI OGOS 2020



Semasa mengumumkan keputusan pemerintah membenarkan kakitangan sektor penjagaan kesihatan memakai tudung bersama pakaian seragam mereka, jika mereka mahu, pada Rapat Umum Hari Kebangsaannya (NDR) Ahad lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut menerangkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat Islam pada 2014 apabila isu tudung bagi jururawat mula menimbulkan ketegangan.



Dalam pertemuan itu, beliau menekankan pemerintah memahami aspirasi masyarakat. Namun, pada masa sama, beliau menjelaskan pendirian pemerintah, sambil menekankan dasar pemakaian tudung bukan sesuatu yang tidak boleh berubah.



Ini memulakan proses perbincangan, rundingan dan dialog antara pemerintah, pemimpin masyarakat dan berkepentingan lain, sebelum semakan bagi membolehkan kakitangan Muslim dalam sektor penjagaan kesihatan dicapai.



Semakan dasar tudung bagi jururawat itu berkuat kuasa mulai 1 November ini.



Encik Lee, dalam ucapannya menekankan isu tudung bukan menjejas masyarakat Islam sahaja, malah ia satu isu nasional. Justeru, masyarakat bukan Islam juga perlu dilibatkan dalam pertimbangan pemerintah.



Encik Lee juga berkata beliau telah sekali lagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat awal tahun ini untuk memaklumkan mereka bahawa pemerintah sudah bersedia menyemak dasar tersebut.



Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, juga memberi bayangan tentang perubahan peraturan bagi membolehkan jururawat memakai tudung sebagai sebahagian pakaian seragam mereka, dalam satu sesi privet dengan beberapa pemimpin masyarakat pada Ogos tahun lalu.



Sesi itu dihadiri pemimpin agama mapan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Ustaz Ali Mohamed dan Ustaz Pasuni Maulan serta beberapa pegawai Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



Beliau kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada peserta satu dialog anjuran Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada 23 Mac.



Encik Shanmugam pada masa itu menerangkan asatizah bertanya beliau tentang isu pemakaian tudung oleh jururawat dalam sesi tertutup pada Ogos itu.



"Saya beritahu anda secara terus terang, kami boleh lihat ada sebab-sebab baik mengapa jururawat harus dibenarkan memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian.



"Saya berkata ini sedang dibincangkan secara dalaman. Setelah itu, pandangan kami ialah - kemungkinan akan ada perubahan. Kami sedang berunding dengan masyarakat sebelum kami membuat perubahan," kata Encik Shanmugam, ketika itu.



Dalam perbahasan mengenai aspirasi wanita Singapura di Parlimen pada 8 Mac lalu pula, Anggota Parlimen (AP) pembangkang, Encik Muhamad Faisal Manap, menimbulkan isu tudung dalam ucapannya bagi menyokong usul memenuhi aspirasi wanita di Singapura.



Encik Faisal berkata beliau memilih dewan Parlimen sebagai wadah dengan mandat sebagai AP dipilih bagi mengetengahkan keprihatinan masyarakat.



AP Parti Pekerja (WP) itu menggesa pemerintah mempertimbangan apa yang beliau sifatkan sebagai keinginan masyarakat Melayu/Islam untuk diberi peluang memenuhi aspirasi pekerjaan sambil memenuhi keperluan agama mereka.



PERBINCANGAN RAMAH, TERBUKA DAN BERTOLAK ANSUR



Mantan presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, yang memimpin persatuan itu ketika perbincangan mengenai isu tudung hangat dijalankan sekitar 2014, berkata pihaknya mula mengadakan perbincangan dengan pemerintah seawal 2013.



"Ketika itu, beberapa jururawat, termasuk pelajar jururawat, memberi taklimat kepada MHPA mengenai keinginan mereka memakai tudung bersama pakaian seragam mereka," ujar beliau, yang kini penasihat MHPA.



Menurutnya, pada masa sama, terdapat juga pihak-pihak lain yang "berkempen" dalam talian dan menerusi aplikasi WhatsApp, dan ini menimbulkan keprihatinan memandangkan ia isu sensitif.



"Saya kemudian dipanggil Dr Yaacob Ibrahim (Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu) untuk memberikan pandangan saya," tambah beliau.



Ketua Pegawai Eksekutif Pergas, Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha, pula memberitahu BH pelibatan asatizah dalam membincangkan isu bagi kebaikan dan kemaslahatan masyarakat Islam merupakan usaha berterusan, baik secara terbuka mahupun di balik tabir.



"Usaha seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan perancangan strategik kerana akan melibatkan pelbagai pihak, termasuk pemerintah, asatizah, pegawai berseragam, penggubal undang-undang, dan masyarakat Islam serta bukan Islam," ujar beliau.



Sementara itu menurut Dr Zuraimi, dalam pertemuan tertutup bersama pemimpin masyarakat pada 2014 itu, PM Lee memberitahu hadirin pemerintah belum bersedia mengubah dasar pemakaian tudung bagi jururawat.



Meskipun kecewa, MHPA dan pemimpin masyarakat umumnya berpuas hati dengan jaminan Encik Lee bahawa pendirian pemerintah tidak semestinya tidak boleh berubah.



Dengan jaminan itu, pada 2015, MHPA dan Pergas bekerjasama untuk menghasilkan satu tinjauan bagi menilai penerimaan awam mengenai jururawat Muslim memakai tudung.



Pada masa sama, dua pertubuhan itu telah menghasilkan panduan mengenai pakaian seragam bertudung bagi jururawat Muslimah yang mahu memakainya semasa bertugas.



MHPA, menurut Dr Zuraimi, membentangkan dapatan kajian mereka itu kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sekitar 2016.



Pada masa sama, Pergas mengadakan pertemuan dengan pemerintah untuk membentangkan secara berasingan dapatan usaha yang dilakukannya bersama MHPA.



Tinjauan tersebut menunjukkan masyarakat bukan Islam amat terbuka kepada jururawat Muslim memakai tudung.



Selepas tinjauan dan saranan dikongsi bagi penilaian pihak berkuasa, Dr Zuraimi menerangkan, pihaknya berasa wajar untuk memberi masa dan ruang bagi pemerintah membuat pertimbangan serta mendekati pihak berkepentingan lain.



"Kami mengambil keputusan untuk bersabar dan tidak terlalu mendesak...demi kesejahteraan semua masyarakat di Singapura," ujar beliau.



Mengiyakan itu, Ustaz Dr Mohamed Qusairy berkata meskipun perbincangan mengambil masa lebih lama daripada yang diharapkan, ia mencerminkan nilai kesabaran masyarakat.



"Setiap yang dilakukan haruslah... objektif, bukan mengikut emosi... untuk kita mengelakkan daripada berlakunya konflik, agar semangat perpaduan tidak terjejas.



"Ini yang dicontohkan oleh Rasulullah saw dalam perjanjian Hudaibiyah," katanya.



MENDAPATKAN PENERIMAAN SEMUA PIHAK DAN MEMANDANG KE DEPAN



Sepanjang perbincangan mengenai isu tudung, AP-AP Melayu/Islam telah memainkan peranan bukan sahaja dalam rundingan dengan pemerintah, bahkan dalam menggalak masyarakat agar terus berusaha dan bersabar, dengan jaminan bahawa isu tersebut akan terus diperjuangkan.



Dalam beberapa tahun lalu, beberapa AP juga melahirkan harapan mereka dan berkongsi aspirasi masyarakat mengenai isu tudung untuk jururawat.



Mereka juga telah menyuarakan keprihatinan, terutama apabila isu tudung menjadi punca diskriminasi di tempat kerja, dengan Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohd, tegas menangani isu tersebut semasa seorang kakitangan sambilan di sebuah gedung beli-belah tempatan mendakwa beliau tidak dibenarkan memakai tudung.



Mantan presiden Persatuan Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Rahayu Mohamad, menjelaskan perbincangan yang memakan masa lama dan melibatkan semua pihak itu adalah pendekatan penting bagi memastikan masyarakat berbilang kaum dan agama di sini memahami pertimbangan di sebalik perubahan dasar demi kepentingan negara dan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.



Justeru, persetujuan yang dicapai berlandaskan sikap saling hormat--menghormati, sekali gus dapat memperkukuh lagi hubungan antara masyarakat.



"Semasa sesi rundingan dan perbincangan itu, pemerintah dan semua pihak berkepentingan dapat mendengar aspirasi masyarakat Islam dan kita pula memahami keprihatinan yang diutarakan daripada pelbagai sudut.



"Pada masa sama, ia dapat dijadikan ruang untuk memperbetul sebarang salah faham," ujar beliau, yang kini Anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Bersetuju, Ustaz Dr Mohamed Qusairy juga menekankan perbincangan yang dilakukan dengan penuh adab dan akhlak telah menyumbang kepada kesudahan positif itu.



Selepas pengumuman mengenai keizinan diberi bagi kakitangan penjagaan kesihatan memakai tudung jika mereka mahu, pemimpin masyarakat memberitahu BH kini tiba masanya masyarakat melihat ke depan dan mengalihkan tumpuan kepada isu lain yang memerlukan juga perhatian penuh.



Berbekalkan pengalaman isu tudung dan jururawat itu, mereka yakin lebih banyak dapat dicapai sekiranya masyarakat terus berganding bahu dengan pemerintah dalam menangani isu-isu yang menjadi keprihatinan.



"Kita perlu bekerjasama secara damai untuk menuju pada haluan sama, walaupun ada perkara kita tidak setujui pada awal," kata Dr Zuraimi.



Cik Rahayu pula menekankan bahawa masyarakat, terutama kakitangan penjagaan kesihatan secara keseluruhan, perlu memberi sokongan kepada rakan sekerja dalam tempoh penyesuaian kepada semakan dasar ini.



"Perubahan dasar ini merupakan pilihan untuk memakai tudung. Oleh itu, ruang harus diberikan kepada jururawat Muslim supaya tenang membuat keputusan sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing.



"Bagi jururawat wanita Muslim yang memilih memakai tudung, semoga lebih tenang dan berdedikasi dalam menjalankan tugas, di samping menunjukkan bahawa pakaian dan agama tidak menjadi halangan untuk berkhidmat dengan profesional dan menjalinkan hubungan baik dengan pesakit," ujarnya.



 • Laporan tambahan oleh MOHD NOOR A. RAHMAN dan SITI AISYAH NORDIN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >