Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, telah ditangkap pada Selasa dan dibebaskan dengan ikat jamin, manakala pasportnya diserahkan kepada pihak berkuasa, kata Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Jumaat.
Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa jurucakap CPIB berkata Encik Iswaran diberkas pada hari yang sama dengan pengasas dan pengarah urusan Hotel Properties Limited, Encik Ong Beng Seng.
Encik Ong juga dibebaskan dengan ikat jamin.
CPIB pada Rabu berkata Encik Iswaran sedang membantu CPIB dengan siasatan terhadap satu kes yang dibongkarnya.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata beliau telah mengarahkan Encik Iswaran untuk mengambil cuti ketidakhadiran hingga siasatan selesai.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Khamis berkata Encik Iswaran akan kekal di Singapura semasa cuti ketidakhadiran itu dan beliau tidak akan mempunyai akses kepada sebarang sumber rasmi dan bangunan pemerintah.
Pada Jumaat, jurucakap CPIB berkata:
“Sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin, pasport subjek diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Subjek dengan ikat jamin bagaimanapun boleh mengemukakan permintaan untuk ke luar negara. CPIB akan menilai permintaan tersebut mengikut kes.
“CPIB telah menilai dan bersetuju dengan permintaan Encik Ong untuk ke luar negara. Jumlah ikat jamin Encik Ong juga dinaikkan kepada $100,000. Apabila beliau pulang, Encik Ong dikehendaki melaporkan diri kepada CPIB dan menyerahkan pasportnya kepada Biro itu,” katanya.
Jurucakap itu enggan memberi butiran lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.
Hotel Properties Limited berkata dalam satu kenyataan kepada Bursa Singapura pada Jumaat bahawa Encik Ong sedang bekerjasama dengan CPIB untuk memberikan maklumat berhubung interaksinya dengan Encik Iswaran, dan telah dikenakan notis penangkapan.
Ia menambah bahawa Encik Ong, 77 tahun, akan berada di luar negara dari 14 Julai dan akan menyerahkan pasportnya kepada CPIB sekembalinya ke Singapura.
Tambahnya, beliau belum dihadapkan dengan sebarang pertuduhan.