SATU laluan baru pemimpin kerjaya pertengahan akan diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) bagi memperkukuh pengambilan karyawan kerjaya pertengahan yang mahu berkhidmat serta mempunyai kemahiran dan pengalaman untuk menyumbang.
Usaha itu diharapkan dapat menyuntik kepelbagaian dan daya ketahanan dalam sektor awam pada masa depan, kata Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing dalam satu majlis penyampaian anugerah PSD semalam.
Encik Chan menjelaskan bahawa adalah penting untuk terus memperkaya sektor awam dengan perspektif dari sektor privet dan masyarakat, pengalaman dan rangkaian.
Menurut beliau, disebabkan sektor awam yang bekerja rapat dengan sektor privet dan masyarakat, serta memanfaatkan kekuatan masing-masing, maka Singapura dapat mengharungi sekitaran yang tidak menentu.
Kata Encik Chan, keterhubungan adalah antara pengajaran penting yang ditimba PSD daripada pandemik Covid-19 ini.
"Bagaimanakah kita dapat menjalankan tugas dalam sekitaran yang tidak menentu? Bagaimanakah kita dapat menjamin bekalan penting dan vaksin?
"Keterhubungan. Kita memanfaatkan seluruh rangkaian negara kita. Sektor awam, privet dan masyarakat telah bekerjasama," ujarnya.
Menurut Encik Chan, tiada negara yang bersedia menghadapi Covid-19 mahupun kesannya.
Malah sehingga kini, semua orang sedang bergelut dengan kejutan yang dibawakan virus itu.
Tetapi dalam sekitaran yang amat tidak menentu, ketangkasan adalah amat penting.
Dalam hal ini, Perkhidmatan Awam harus menyusun semula untuk membentuk pertubuhan dan proses baru bagi memastikan Singapura terus bergerak.
"Kita harus mengubah proses kita dalam masa dua kali ganda lebih cepat bagi menentukan industri dan perniagaan mana akan kekal dibuka dan operasi mana yang harus ditutup sedang situasi berubah," tekan Encik Chan.
"Respons kita (terhadap keadaan) mungkin tidak sempurna, tetapi ia telah membolehkan kita untuk meneruskan kehidupan, dengan harapan, ia lebih baik daripada pesaing kita."
Sementara itu, Encik Chan turut menggariskan satu perkara yang membolehkan Singapura melangkah jauh dalam usaha memerangi Covid-19 - berbanding dengan banyak negara - adalah kepercayaan di antara warga dengan pemerintah mahupun di antara Singapura dengan rakannya di luar negara.
Menurut beliau, jika Singapura tidak mempunyai kedudukan sebagai sebuah rakan negara yang dipercayai secara global, maka lebih sukar untuk kita menjamin keperluan dalam masa krisis.
"Jika kita tidak membina kepercayaan dengan rakyat kita, kita tidak mungkin dapat melaksanakan respons kita dengan berkesan dalam cara yang bersepadu dan kolektif.
"Inilah membezakan kita dengan ramai lain di dunia," tegas beliau.