JAKARTA: Indonesia sedang memohon ekstradisi ketua persatuan bola sepak negara itu yang melarikan diri ke Singapura selepas dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah bulan lalu.
La Nyalla Mattalitti, pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), didakwa terlibat dalam kes rasuah melibatkan geran daripada pentadbiran wilayah Jawa Timur kepada Dewan Perniagaan dan Industri (Kadin) Jawa Timur sebanyak 5.3 bilion rupiah ($545,650).
Dia juga menjadi ketua umum Kadin Jawa Timur.
Geran itu ialah bagi pembelian saham Bank Jatim, yang dimiliki wilayah itu, pada 2012, menurut laporan media.
Seorang pegawai Kementerian Luar Indonesia memberitahu pemberita pada Isnin (4 Apr) bahawa pihaknya masih menunggu permohonan ekstradisi oleh Pejabat Peguam Negara.
"Kami akan memprosesnya dengan segera apabila ada permintaan," kata pegawai itu.
La Nyalla dipercayai terbang dari Jakarta ke Malaysia sebelum memasuki Singapura bulan lalu.
Indonesia dan Singapura telah menandatangani perjanjian ekstradisi, tetapi Parlimen Indonesia belum mengesahkannya.