Jalan raya di barat Singapura bakal jadi kawasan ujian Kenderaan Autonomi

KENDERAAN tanpa pemandu akan diuji di jalan raya awam di kawasan kejiranan seperti Bukit Timah, Clementi dan Jurong sebagai sebahagian daripada percubaan kenderaan autonomi (AV), yang bakal diperluas untuk meliputi seluruh kawasan barat Singapura.

Ujian yang diperluas itu akan membuka lebih daripada 1,000 kilometer jalan raya awam untuk kegunaan syarikat untuk menjalankan ujian mereka.

Pengembangan itu dijangka dijalankan secara beransur-ansur dalam beberapa tahun akan datang, sementara keselamatan orang awam akan terus menjadi keutamaan, kata Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pengangkutan, Dr Janil Puthucheary pada Khamis (24 Oktober).

Dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Mobiliti Autonomi di Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Bijak, Dr Janil berkata penerimaan orang ramai adalah faktor kejayaan utama dalam penggunaan mobiliti autonomi secara meluas. Ia boleh terjejas jika kemalangan berlaku, katanya.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengatakan bahawa pengembangan kawasan ujian adalah berdasarkan maklum balas industri, untuk mempunyai kawasan ujian yang lebih pelbagai, dan yang memberi peluang kepada syarikat untuk “menjalankan ujian di jalan raya secara progresif dalam pelbagai senario lalu lintas dan keadaan jalan raya".
 

Galeri Foto