KAWASAN sekitar Wisma Geylang Serai (WGS) akan dibangunkan menjadi kawasan Jalur Budaya Melayu yang memaparkan warisan dan sejarahnya tersendiri.
Jalur itu merangkumi kawasan Tanjong Katong Complex hingga Kelab Masyarakat (CC) Kampong Ubi, iaitu sepanjang Geylang Road dan Sims Avenue.
Mendasari pembangunan masa depan jalur itu kelak ialah garis panduan yang menonjolkan ciri budaya, warisan dan sejarah orang Melayu.
Dalam wawancara kelmarin, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, berkata:
"Sejak WGS beroperasi empat atau lima bulan lalu, kami sedar terdapat banyak sekali potensi bagi meningkatkan peranan WGS serta membangunkan kawasan sekitarnya sebagai tempat dengan kebudayaan tersendiri.
"Geylang Serai mengandungi banyak sejarah dan warisan. Kami ingin membina warisan itu agar generasi akan datang boleh menghayati sejarahnya."
Dalam Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa beliau melantik Dr Maliki bagi menerajui projek membangunkan kawasan sekitar WGS.
Antara idea awal yang diteroka adalah memudahkan pejalan kaki dari stesen MRT Paya Lebar ke kawasan itu dan sekitarnya; penyalaan lampu pada waktu malam; dan menghiasi simpang antara WGS, Pasar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex.
Sebelum ini, Dr Maliki menerajui pembangunan WGS yang mula beroperasi awal tahun ini.
Bagi tempoh jangka masa pertengahan, Dr Maliki berkata pihaknya akan berbincang dengan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi memanfaatkan potensi ruang di tanah lapang dan tempat kereta terbuka di situ.
"Kami ingin mewujudkan tempat bagi kumpulan masyarakat menggunakan ruang untuk melakukan pelbagai kegiatan," ujarnya.
Berkenaan garis panduan pembangunan pula, beliau berharap dapat berbincang dengan anggota masyarakat bagi mewujudkan kawasan unik daripada segi budaya.
"Kami ingin bekerjasama dengan agensi pemerintah untuk memenuhi beberapa keperluan perancangan demi memenuhi matlamat menjadikannya kawasan dengan kebudayaan tersendiri," ujarnya.
Pihaknya akan menggunakan siri perbincangan yang diterajui pemimpin Generasi Keempat (4G) untuk mengumpul idea dan maklum balas mengenai kawasan pembangunan Geylang Serai.