PADA setiap Jumaat dari 11 pagi hingga 4 petang, Restoran Mihrimah berdekatan Masjid Sultan menawarkan pelbagai juadah nasi campur serta beriani.
Pelanggan boleh memilih apa jua untuk mengisi perut dan tiasa bayaran khusus dikenakan.
Sebaliknya, Pengurus Restoran Mihrimah, Encik Abdul Muiin Mohamed Johan, mengambil pendekatan, 'bayar seikhlasnya'.
"Inisiatif ini adalah satu perkhidmatan kami untuk mereka yang kurang berkemampuan dan cara kami menghiburkan pelanggan.
"Kami anggap pelanggan kami sebagai tetamu. Ada yang ingat kami buat untuk pelanggan Melayu sahaja tetapi tidak, kami buat untuk semua," jelas Encik Abdul Muiin, mengenai Restoran Mihrimah yang terletak di 742 North Bridge Road itu.
Meskipun pendekatan itu mula dimuat naik melalui laman Instagram restoran tersebut pada 9 Julai tahun lalu, sebenarnya sudah hampir lima tahun ia dipraktikkan.
Restoran yang menjadi tumpuan anggota jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan itu menawarkan antara lain, lauk-pauk seperti ayam masak merah, rendang daging, ikan asam pedas, udang petai, paru berempah, sayur lemak turi dan lain-lain.
Ia dibuka pada 2016 dan memulakan pendekatan bayar seikhlasnya setahun kemudian.
Restoran tersebut berada di bawah naungan syarikat bumiputera Islam Malaysia, GISB Holdings.
Terdapat beberapa restoran dan kedai runcit di bawah syarikat itu termasuk di 16 negara seperti Malaysia, Amirah Arab Bersatu (UAE), Perancis dan Uzbekistan.
Pendekatan restoran itu sejajar dengan cogan kata GISB Holdings, khoirunnas anfauhum linnas - atau maksudnya sebaik-sebaik manusia ialah manusia yang berkhidmat kepada manusia lain.
GISB Holdings yang mencetuskan idea 'bayar seikhlasnya' manakala restoran itu pula membantu mempermudah proses tersebut.
Encik Abdul Muiin percaya terdapat golongan keluarga susah di Singapura dan mereka berhasrat membantu.
Ketika ditanya reaksi pelanggan semasa berada di kaunter bayaran dari 11 pagi hingga 4 petang setiap Jumaat itu, Encik Abdul Muiin, menambah:
"Ada yang bayar lebih dengan niat menyumbang semula bagi menampung sesiapa yang bayar sedikit.
"Ada yang kalau memang mereka tidak ada duit, kami cakap 'Tak apa, makan saja. Kirakan kami belanja'."
Pelanggan yang ditemui Berita Harian (BH) rata-rata terkejut adanya daya usaha sedemikian dan mahu ia diteruskan.
Dalam masa yang sama, ada juga yang keberatan membayar lebih daripada apa yang mereka seharusnya bayar memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat.
Encik Jumaat Mohd Arshad, 62 tahun, berkata beliau akur tidak semuanya datang percuma.
"Saya yakin Restoran Mihrimah mesti raih keuntungan kecil dan tahu keikhlasan manusia.
"Tapi kalau kita pun nak makan, kita mesti nak agak-agak juga. Jangan sampai kita bayar sesuatu itu yang tidak munasabah," pesan beliau.
Bagi Encik Kamarulzaman Omar, 59 tahun, beliau mendapat tahu tentang pendekatan bayar seikhlas hati di Restoran Mihrimah menerusi video TikTok @udadubai.
Beliau mengalu-alukan daya usaha sedemikian di Singapura.
Ahad lalu, beliau singgah ke restoran itu untuk menikmati perata sarang burung.
"Saya biasanya dengar inisiatif sebegini berlaku di Malaysia...
"Mungkin pada salah satu hari Jumaat ini, saya akan turun ke Restoran Mihrimah untuk menyokong mereka," ujar beliau.
Sementara itu seorang lagi pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Inay, 33 tahun, dan berkunjung ke restoran itu buat kali pertama berkata beliau rasa terkejut tetapi bersyukur dengan adanya inisiatif tersebut.
Beliau telah membayar $10 untuk sepinggan nasi beriani daging dan air bandung.
"Mentaliti saya ialah saya secara moral diwajibkan untuk membayar lebih, dan memandangkan ia adalah satu inisiatif yang baik, saya tidak kisah untuk membayar lebih," kata jurutera sofwe itu.
"Inisiatif ini adalah satu perkhidmatan kami untuk mereka yang kurang berkemampuan dan cara kami menghiburkan pelanggan.
Kami anggap pelanggan kami sebagai tetamu. Ada yang ingat kami buat untuk pelanggan Melayu sahaja tetapi tidak, kami buat untuk semua."
- Pengurus Restoran Mihrimah, Encik Abdul Muiin Mohamed Johan.