Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:24
Setempat

KORONAVIRUS

Jangan cakap tamu, raja dan permaisuri sehari pun kena 'check' juga...

Pasangan pengantin peka keadaan, sediakan jangka suhu dan pembersih tangan; tamu kurang sihat dinasihatkan berehat di rumah
Feb 22, 2020 | 05:30 AM

APABILA tetamu menghadiri majlis walimah Encik Mohammad Farid Rahmad dan Cik 'Aisyah Kadir di The Grassroots' Club hari ini, mereka perlu melepasi satu 'hadangan'.

Semua tetamu, bahkan pengantin sendiri, perlu melalui pemeriksaan suhu badan sebagai satu langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan wabak koronavirus baru.

Dua orang akan ditugaskan untuk mengambil suhu di tempat masuk majlis yang diadakan di restoran Muslim Delights di kelab yang terletak di Yio Chu Kang itu.

Selain itu, sanitiser atau pembersih tangan akan disediakan untuk tetamu dalam usaha memastikan majlis itu bebas daripada wabak seberapa boleh.

Berita Harian difahamkan beberapa ratus dolar telah diketepikan untuk mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga itu.

Menjelang majlis itu, bakal pengantin juga telah menerbitkan pos di media sosial untuk menasihatkan tetamu yang kurang sihat untuk berehat di rumah.

Itulah antara persediaan Encik Farid dan Cik 'Aisyah bagi majlis mereka di tengah-tengah penularan virus Covid-19 di Singapura.

''Secara jujur, kami agak prihatin dan kami tak pasti jika situasi ini boleh jejas majlis kami.

''Kami sedar kami bertanggungjawab memastikan acara kami selamat dan selesa untuk semua orang,'' kata Encik Farid, 30 tahun, seorang pereka grafik dan eksekutif pemasaran.

Semasa membuat persiapan bagi majlis itu, beliau dan bakal isterinya itu mula prihatin apabila kes jangkitan setempat meningkat, dan orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan tempat sesak dan perhimpunan besar-besaran.

Keluarga Encik Farid mengundang sekitar 500 tetamu untuk majlis di The Grassroots Club itu, manakala keluarga Cik Aisyah pula menjangkakan sekitar 700 tetamu bagi majlis berasingan di Compassvale.

Sejak penularan virus itu, ada tetamu juga yang bertanya apakah majlis mereka akan diteruskan.

''Keluarga saya agak risau tetamu tidak akan hadir tetapi kami juga tahu ini satu situasi di luar kawalan kami.

''Kami tidak boleh paksa tetamu untuk datang tetapi apa yang boleh kami buat adalah cuba pastikan acara itu selamat bagi semua yang hadir,'' ujar Encik Farid.

Beliau menambah bahawa beliau faham jika tetamu tidak datang kerana bimbang tentang virus itu.

Bakal isterinya Cik Aisyah, 31 tahun, seorang tutor seni privet, pula akur beliau berasa cemas sedikit apabila Singapura menaikkan penilaian risiko di bawah Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) ke Jingga.

''Alhamdulillah, situasinya kini lebih terkawal. Saya telah dapatkan sanitiser dan tisu basah bagi tetamu.

''Saya juga dapatkan bantuan majlis bandaran untuk bersihkan dan membasmi kuman di tempat majlis diadakan sebanyak dua kali sebelum dekor dipasang,'' kata Cik Aisyah, yang majlisnya akan diadakan di sebuah dewan pelbagai guna.

Pasangan itu, yang diwawancara Berita Harian sebelum majlis itu, kini hanya berharap majlis mereka itu akan berjalan lancar nanti.

Mujur buat masa ini, wabak itu tidak menjejas rancangan pasangan itu untuk ke Eropah bagi bulan madu mereka.