Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Jangan hanya nak jadi 'superwoman', dapatkan sokongan keluarga dan orang tersayang

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Jangan hanya nak jadi 'superwoman', dapatkan sokongan keluarga dan orang tersayang

Mar 08, 2021 | 05:30 AM

Sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini, BERITA HARIAN memaparkan empat wanita yang giat mencetus perubahan demi memartabatkan kaum Hawa. Mereka mengongsi pandangan masing-masing tentang isu stereotaip dan perwakilan wanita, serta cabaran yang mereka hadapi sebagai wanita dalam bidang masing-masing.

WANITA yang menonjol kecemerlangannya dalam dunia korporat bukan hanya boleh dijadikan simbol contoh pencapaian kaum hawa tetapi juga aset yang perlu dihargai syarikat atau pertubuhan.

Ini kerana wanita mampu memberi suntikan idea atau perspektif berbeza untuk membentuk pemahaman yang lebih menyeluruh, sama ada dalam memikirkan penyelesaian untuk sebarang isu mahupun membentuk dasar yang memberi kesan terhadap orang lain.

Walaupun kini lebih ramai yang mencatatkan pencapaian cemerlang baik dari segi pendidikan mahupun kerjaya, wanita yang menyandang jawatan tinggi dalam dunia korporat atau yang menjadi anggota lembaga pengarah masih berkurangan, kata Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Dr Shahira Abdullah.

Meluahkan harapannya agar situasi tersebut berubah dengan lebih banyak peluang yang diberikan kepada kaum hawa, Dr Shahira akui ini bukan perubahan 'sekelip mata' dan memerlukan komitmen seluruh masyarakat.

Ini kerana masih wujud tanggapan yang 'menghadkan' keupayaan wanita terhadap bidang-bidang tertentu sahaja, kata konsultan bersekutu dalam pasukan pembedahan pergigian di Hospital Khoo Teck Puat itu.

"Usaha perlu dipertingkat untuk secara sedar wujudkan lebih banyak peluang wanita pamerkan keupayaan mereka dalam bidang yang biasanya dikuasai lelaki, contohnya dalam lembaga pengarah atau pihak pengursan kanan.

"Kehadiran wanita dalam bidang ini penting supaya dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain, tunjukkan mereka bahawa ini sesuatu yang boleh dilakukan," kata Dr Shahira, 33 tahun.

Namun beliau akui ini memerlukan anjakan minda dan komitmen menyeluruh dari semua lapisan masyarakat, termasuk wanita itu sendiri yang perlu sedar akan keupayaan diri.

Dr Shahira menambah, budaya yang menekankan peranan lelaki untuk keluar bekerja dan wanita yang menjaga hal ehwal rumah tangga semakin hilang relevan dalam kehidupan masyarakat sekarang, memandangkan lebih ramai wanita yang keluar menyumbang kepada kewangan keluarga, katanya.

Namun, kepercayaan ini masih dipegang sesetengah anggota masyarakat dan ada kalanya wanita menghadapi kesukaran apabila dijangka mengimbangi kededua tanggungjawab kerja dan di rumah dengan baik, ujar Dr Shahira.

Menurut pengamatannya melalu interaksi dengan belia melalui program serta dialog yang diadakan, Dr Shahira yang aktif dalam Majlis Belia Kebangsaan (NYC) sejak 2010 berkata, jurang antara wanita dengan lelaki dari segi pencapaian dan kerjaya lebih ketara selepas mereka berumah tangga.

Biasanya, wanita akan memikul sebahagian besar tanggungjawab untuk menjaga anak dan tanpa fleksibiliti di tempat kerja atau majikan yang memahami, ini mungkin menjejas prestasi mereka di tempat kerja.

Namun, beban ini dapat diringankan apabila tanggungjawab di rumah dapat dibahagikan secara seimbang dengan suami, tambahnya.

"Wanita ada kalanya dijangka jadi superwoman, tapi sebenarnya untuk melaksanakan semua tanggungjawab di tempat kerja dan menguruskan tugasan di rumah sendirian adalah mustahil.

"Untuk itu, salah satu perkara yang penting adalah supaya ibu bapa menddik anak lelaki mereka untuk sama-sama melakukan tugasan di rumah yang biasanya dilabel 'kerja perempuan'," katanya menekankan pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat masa depan yang lebih setara.

Selain itu, dialog yang membincangkan topik-topik berkaitan wanita perlu menjangkau peserta yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kaum adam dan juga generasi yang lebih berusia.

Penglibatan mereka penting untuk mengubah sebarang tanggapan yang berasaskan budaya atau pegangan lama tentang peranan wanita dan lelaki.

Keberanian untuk merebut segala peluang yang tersedia penting dalam mencapai kejayaan, namun Dr Shahira menekankan pentingnya sama berani untuk meminta bantuan.

Katanya: "Apabila kita minta bantuan, tak semestinya ini bermakna kita lemah, jangan hanya nak jadi superwoman.

"Kita perlu ingat, wanita yang berjaya dalam hidup mereka biasanya ada menerima sokongan dan bantuan dari keluarga atau orang tersayang. Kita tak perlu harungi semuanya sendirian."


"Wanita ada kalanya dijangka jadi superwoman, tapi sebenarnya untuk melaksanakan semua tanggungjawab di tempat kerja dan menguruskan tugasan di rumah sendirian adalah mustahil. Untuk itu, salah satu perkara yang penting adalah supaya ibu bapa mendidik anak lelaki mereka untuk sama-sama melakukan tugasan di rumah yang biasanya dilabel 'kerja perempuan.' Apabila kita minta bantuan, tak semestinya ini bermakna kita lemah, jangan hanya nak jadi superwoman. Kita perlu ingat, wanita yang berjaya dalam hidup mereka biasanya ada menerima sokongan dan bantuan dari keluarga atau orang tersayang. Kita tak perlu harungi semuanya sendiri.''
- Dr Shahira Abdullah

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3