Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH JAUHARI HARAPAN

Jangan takut cuba cabaran baru: Kiria Tikanah yang berjaya ke Olimpik

Dec 23, 2021 | 05:30 AM



SEJAK kecil, Kiria Tikanah Abdul Rahman sangat aktif dalam pelbagai kegiatan sukan.



Minatnya dalam sukan bertukar menjadi cinta apabila beliau mencuba sukan lawan pedang pada umur lapan tahun.



Meskipun sukan itu tidak terkenal seperti sukan badminton, bola keranjang atau gimnastik di sini, Kiria amat tertarik dengan keunikan sukan itu.



"Sukan lawan pedang sangat berbeza dari sukan yang pernah saya cuba sebelum ini. Apatah lagi, bagi usia muda ketika itu, ia sangat menyeronokkan kerana saya dapat 'mencucuk' pihak lawan," katanya sambil tertawa.



Minatnya terhadap sukan itu jugalah yang mendedahkan Kiria terhadap pentas Olimpik.



"Saya sering menonton sukan Olimpik di televisyen, terutama sekali dalam sukan lawan pedang. Saya juga sering membayangkan bagaimana rasanya beraksi di pentas sebesar Olimpik itu," ujar pemuda berusia 21 tahun itu.



Dari usia muda itu, Kiria menanam hasrat dan impian untuk mencapai ke peringkat Olimpik. Beliau juga memberitahu akan impiannya itu kepada rakan-rakannya ketika itu. Malangnya, perkongsian itu dibalas dengan ketawa dan ejekan. Ini kerana rakan-rakan beliau menganggap impian Kiria itu terlalu besar bagi warga Singapura sepertinya.



Namun, Kiria tidak mengendahkan itu semua. Malah, ia jadi pendorong serta menjadikannya lebih bersemangat untuk merealisasikan impian besarnya itu.



Kegigihan Kiria dalam sukan itu mula menyerlah apabila beliau mengambil bahagian bersama skuad negara di pertandingan lawan pedang di peringkat kebangsaan serta di luar negara pada usia 14 tahun.



Kiria kemudian menyertai Sukan SEA buat kali pertama pada 2019. Di situ, beliau berjaya memenangi pingat emas dalam acara individu serta pingat perak dalam acara kumpulan.



Berbekalkan pengalaman itu, Kiria percaya bahawa beliau boleh pergi lebih jauh lagi. Tetapi impiannya untuk ke sukan Olimpik di Tokyo tahun lalu disekat apabila pertandingan itu ditunda atas sebab pandemik Covid-19.



Bagi beliau, tundaan itu menjadi kerisauan besar kerana Kiria sudah membuat banyak pengorbanan dan latihan untuk melayakkan diri ke pertandingan temasya itu. Malah, beliau juga perlu membahagikan masanya sebagai seorang pelajar.



"Agak sukar bagi saya untuk membahagikan masa. Tetapi saya dapat melakukannya atas sokongan daripada cikgu, rakan-rakan serta keluarga saya," kata pelajar bidang kimia di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Dengan azam beliau untuk bertanding, Kiria tidak putus asa dan berjaya merealisasikan impian lamanya itu apabila layak ke sukan Olimpik di Tokyo pada Julai hingga Ogos lalu.



Meskipun berjaya menewaskan pelawang pedang Hong Kong, Coco Lin (pemain nombor ke-90 dunia) dalam perlawanan kelompok 64 pesaing 'epee' perseorangan wanita, beliau gagal menewaskan pemain nombor satu dunia Ana Maria Popescu walaupun hampir membuat kejutan dalam perlawanan itu.



Namun, Kiria gembira atas pencapaiannya untuk beraksi di pentas Olimpik. Atas usaha dan semangat beliau untuk mengibarkan bendera negara kita tinggi di persada sukan antarabangsa, Kiria telah dianugerahkan Anugerah Jauhari Harapan 2021 akhbar ini.



Kiria berharap anugerah ini dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk mengikuti jejak langkahnya.



"Saya terkejut apabila mendapat tahu saya memenangi anugerah ini. Sejujurnya, saya tidak mempunyai idola untuk jadi pendorong di sukan lawan pedang di Singapura.



"Jadi saya berharap, dengan kemenangan anugerah ini, saya dapat mendorong masyarakat terutama generasi muda untuk mengambil minat dalam sukan ini. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan mempunyai impian yang besar," pesan beliau.



Kiria adalah penerima ke-sembilan Anugerah Jauhari Harapan setelah ia diperkenalkan pada 2013 sebagai anugerah sampingan kepada Anugerah Jauhari, yang tahun ini disampaikan buat tahun ke-22.



Anugerah Jauhari Harapan disampaikan kepada individu Melayu/Islam yang berusia 30 tahun dan ke bawah, yang menunjukkan potensi bagi mengharumkan nama negara dalam bidang masing-masing.



Lain-lain penerima Anugerah Jauhari Harapan termasuk pemain bolasepak Singapura Ikhsan Fandi; petinju profesional, Muhammad Ridhwan 'The Chosen Wan'; pendayung negara dan atlet Olimpik, Saiyidah Aisyah Mohamed serta penerima biasiswa presiden, Encik Adil Hakeem Mohamad Rafee dan Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal.




"Saya terkejut apabila mendapat tahu saya memenangi anugerah ini. Sejujurnya, saya tidak mempunyai idola untuk jadi pendorong di sukan lawan pedang di Singapura.



Jadi saya berharap, dengan kemenangan anugerah ini, saya dapat mendorong masyarakat terutama generasi muda untuk mengambil minat dalam sukan ini. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan mempunyai impian yang besar."
- Kiria Tikanah Abdul Rahman




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >