Jasa penolong pengurus dihargai kerana jaya tangkap pencuri di Bukit Panjang

ENCIK Bahari Haron, 27 tahun, berjaya mematahkan percubaan mencuri dengan mengejar suspek sejauh 100 meter di tangga bergerak tingkat bawah tanah B2 hingga tingkat satu Pusat Beli-Belah Hillion, Bukit Panjang.

Akhirnya, beliau berjaya menahan pencuri lelaki berbangsa Cina berusia 32 tahun itu dalam kejadian tersebut, yang berlaku di Petir Road pada 18 Mei lalu.

Jasanya dihargai polis semalam, yang memberikannya Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam di Divisyen Polis Jurong.

Anugerah diberikan oleh komander divisyen tersebut, Penolong Pesuruhjaya (AC) Devrajan Bala.

Ketika ditemui Berita Harian, Encik Bahari, penduduk Jurong, berkata waktu itu sekitar 10.30 pagi.

Beliau dalam perjalanan ke tempat kerja lamanya yang berdekatan dan memutuskan singgah ke pusat beli-belah tersebut. Beliau turun ke tingkat B2.

Penolong pengurus di Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) itu tiba-tiba terdengar seorang lelaki tua menjerit "Berhenti! Berhenti!" sambil berlari menuju ke tingkat atas.

Lelaki tua itu, yang tidak berpakaian seragam semasa kejadian, dipercayai pegawai keselamatan pasar raya NTUC FairPrice, juga di tingkat B2. Kes pencurian berlaku di pasar raya tersebut.

"Keadaan mendesak dan saya secara automatik mengejar pencuri itu," kata Encik Bahari, yang melihat pencuri membawa dua beg plastik mengandungi arak.

Tanpa ragu-ragu, beliau mengejar pencuri itu dari B2 hingga tingkat satu pusat beli-belah.

Di tingkat satu, pencuri itu cuba berlari keluar menerusi pintu utama berdekatan tempat turun penumpang kenderaan.

Namun, disebabkan pintu hanya boleh terbuka jika butang ditekan, pencuri terperangkap dan Encik Bahari menghampiri.

Beliau menyerang lalu merebahkan dan duduk di badan pencuri itu agar dia tidak dapat melarikan diri.

Pencuri itu menjerit meminta dilepaskan, namun Encik Bahari terus bertahan.

Pegawai keselamatan pasar raya itu menyusul dan menelefon polis.

Selain ditahan atas sebab mencuri, suspek dikehendaki atas kesalahan lain. Dia sudah pun dikenakan hukuman penjara 24 bulan.

Meskipun kejadian hanya berlaku selama dua minit, Encik Bahari rasa bangga dapat membantu polis.

"Saya rasa lega dan gembira kerana dapat menegakkan kebenaran dan buat apa yang sepatutnya," ujarnya.

Mengulas, AC Bala berkata:

"Sangat menggembirakan melihat kerjasama kuat antara polis dengan masyarakat.

"Kewaspadaan dan keberanian yang ditunjukkan Encik Bahari harus dipuji."


"Keadaan mendesak dan saya secara automatik mengejar pencuri itu... Saya rasa lega dan gembira kerana dapat menegakkan kebenaran dan buat apa yang sepatutnya."
- Encik Bahari Haron, 27 tahun, yang berjaya menangkap pencuri.

Waktu Solat

Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
3 HR PSI: 31
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.