Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Setempat

PAGI RAYA YANG SYAHDU

Jauh di mata...Dekat melalui Zoom, Whatsapp

* Suami warga S’pura manakala isteri orang M’sia yang juga pelajar peringkat PhD di Universiti Teknologi Malaysia * Kali pertama kededua beraya berjauhan gara-gara peraturan CB, PKP

May 24, 2020 | 05:30 AM

HARI ini genap 70 hari Encik Ayob Ismail tidak berjumpa isterinya, Cik Mega Suria Hashim.

Ini tempoh paling lama pasangan yang telah 18 tahun berumah tangga itu tidak menemui satu sama lain.

Ini juga Aidilfitri pertama mereka yang disambut berjauhan.

Encik Ayob, 52 tahun, pensyarah politeknik, berada di Singapura manakala Cik Mega, 49 tahun, di seberang Tambak.

Mereka 'terpisah' akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) Malaysia dan pemutus rantaian jangkitan (CB) Singapura bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Ini kali pertama kami berjauhan semasa Raya. Biasanya sejak berkahwin, kami menyambut Aidilfitri bersama, sama ada beraya dahulu di Melaka atau di Singapura. Tapi kali ini Raya disambut dalam cara yang berlainan. Kami cuba menyesuaikan diri dan keadaan," kata Cik Mega, warga Malaysia dengan keluarga di Melaka.

"Saya rindu bersalaman dengan suami dan juga keluarga di pagi Raya, serta makan juadah Raya bersama-sama. Tahun ini malam Raya dan juga pagi Raya seperti hari-hari biasa sahaja," tambahnya.

Kali terakhir pasangan itu bersama ialah beberapa hari sebelum PKP bermula pada 18 Mac lalu.

Dengan pelanjutan perintah kawalan itu ke 9 Jun, bermakna pasangan itu akan terpisah sekurang-kurangnya 86 hari.

CB pula berkuatkuasa dari 7 April hingga 1 Jun.

Cik Mega tinggal berseorangan di kediaman berpagar milik pasangan itu di kawasan Kempas di Johor.

Pelajar tahun akhir Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai itu tidak dapat pulang kerana perlu menyiapkan tesisnya.

Encik Ayob,warga Singapura, pula tidak dapat ke sana kerana kelas bersama pelajar masih berterusan, walaupun kini di dalam talian disebabkan oleh CB.

"Biasanya isteri yang akan pulang ke Singapura apabila ada masa lapang, tapi disebabkan Covid-19, kami kurangkan bertemu kerana saya tidak mahu beliau jatuh sakit dan menjejas pengajiannya.

"Apabila PKP bermula, diikuti pula dengan CB, kami mengambil keputusan untuk berjauhan dahulu kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab," kata Encik Ayob yang menetap di Ang Mo Kio.

"Memang saya merindui kehadirannya di sisi saya dan juga masakannya. Rumah pun terasa sunyi sekali kerana saya seorang diri di sini.

"Tapi mujur ada teknologi. Kami dapat berhubung setiap hari, bukan hanya mendengar suara bahkan dapat melihat wajah menerusi video," tambahnya yang memanfaatkan wadah seperti panggilan video WhatsApp, Skype dan Zoom.

Cik Mega juga akur memang sukar pada mulanya apabila terpaksa berjauhan tetapi sifat positif dan produktif membantunya melalui hari-hari dengan sebaik mungkin.

"Sokongan emosi antara kami amat penting. Kami saling memberi semangat dan juga membuat perancangan jika PKP dan CB dilanjutkan," ujar penduduk tetap Singapura itu.

Encik Ayob berkata beliau dan isteri sudah menjangkakan yang sekatan akan dilanjutkan, dan pasangan itu pun memang tidak membuat banyak persiapan Raya kerana tahun ini adalah tahun genting dalam pengajian isterinya.

Seperti masyarakat Melayu/Islam lain di Singapura, Encik Ayob hanya dapat meraikan Aidilfitri di rumah, kerana CB melarang perhimpunan mereka yang tidak tinggal serumah.

Ini bermakna Encik Ayob tidak dapat mengunjungi keluarga dan sanak-saudara tetapi beliau telah merancang mengadakan 'maraton' Zoom untuk meraikan Hari Raya bersama keluarga besar.

"Kami akan berjumpa di dalam talian. Tiada sentuhan, sekadar mengubat rindu," katanya.