Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jel, denda buat doktor cuai memandu, penyebab 2 orang cedera teruk

Sep 20, 2021 | 04:27 PM



SEORANG doktor gagal memberi laluan kepada sebuah motosikal ketika membelokkan keretanya ke kanan lantas menyebabkan kemalangan berlaku yang membawa pada tiga jari kaki seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun terpaksa dipotong.



Pemboncengnya, wanita berusia 22 tahun, mengalami beberapa keretakan tulang pada tubuhnya termasuk tulang kering kanan.



Selepas kemalangan itu, doktor tersebut, Roger Pang Heng Mun, keluar dari kenderaannya bagi membantu dua mangsa berkenaan, Encik Muhammad Zakir Zakaria dan Cik Eisya Nabila Jaini.



Pada Isnin (20 September), doktor berusia 76 tahun itu dihukum penjara empat hari dan didenda $5,000 selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada pasangan itu dengan memandu secara cuai.



Dia juga tidak diizinkan memandu semua jenis kenderaan bagi tempoh 10 tahun.



Satu pencarian dalam talian mengenai karyawan jagaan kesihatan berdaftar di Singapura, mendedahkan bahawa Pang mengendalikan The Ming Clinic di Pusat Perubatan Camden.



Mahkamah diberitahu Pang sedang memandu di Bukit Batok East Avenue 6 sekitar 8 malam pada 11 Oktober 2019 apabila dia tiba di lampu isyarat di sebuah simpang jalan.



Dia ingin membelok ke kanan apabila lampu trafik itu bertukar hijau apabila penunggang motosikal yang menuju ke arah bertentangan sekitar Bukit Batok East Avenue 6 muncul.



Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Goh Yong Ngee berkata walaupun Pang nampak motosikal itu, Pang dengan cuai tidak memberi laluan buatnya dan terus belok ke kanan.



Dua mangsa itu masih sedarkan diri apabila dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH).



Encik Zakir mengalami kecederaan termasuk tiga jari kaki yang terpaksa dipotong dan retak pada kaki kanannya. Permukaan kulit dan tisu jari-jemarinya itu tersiat dalam kemalangan tersebut.



Dia dibenarkan pulang dari hospital pada 26 November 2019 dan diberi cuti hospital selama 325 hari.



Cik Eisya pula dirawat di NUH antara 12 hingga 18 Oktober tahun itu dan melalui pembedahan bagi kecederaannya.



Menekankan bahawa pasangan itu mengalami kecederaan teruk, DPP Goh menggesa mahkamah agar memberi hukuman hingga 10 hari penjara buat Pang dan tidak lagi mengizinkannya memandu semua kelas kenderaan bagi tempoh dua tahun.



Beliau bagaimanapun akur doktor itu telah membantu mangsa kemalangan.



Peguam bela Cik Peggy Sarah Yee memohon agar Pang diberi denda maksimium dan tempoh lebih lama untuk tidak memandu.



Beliau juga meminta jika hakim memberinya hukuman penjara, jel dua hari memadai.



Kata Cik Yee: "Yang didakwa tidak memecut keretanya; dia tidak melanggar sebarang isyarat lampu trafik. Dia mempunyai rekod memandu yang bersih selama 57 tahun. Dia telah menjual keretanya dan tidak lagi memandu."



Mahkamah diberitahu Pang mempunyai penyakit mata, glaukoma dan katarak, yang mungkin menyebabkan dia payah melihat objek dengan jelas daripada penglihatan persisiannya.



Cik Yee menambah anak guamnya juga mempunyai masalah yang memudaratkan (sindrom apnea tidur obstruktif) di mana wujud sekatan lubang udara dengan beliau perlu tidur dengan bantuan mesin setiap malam.



Sebelum menjatuhkan hukuman pada Isnin, Hakim Daerah Marvin Bay berkata: "Agak mengejutkan bahawa yang didakwa tidak tahu-menahu mengenai kemerosotan daya penglihatan persisiannya.



"Secara menyeluruh, kecuaiannya juga terletak pada cara dia mengendalikan keretanya ketika membuat belokan di kala dia sepatutnya mengesyaki ada masalah pada daya penglihatannya sendiri dan khususnya keupayaannya mengesan objek yang bergerak pantas secara segera kemungkinan terjejas."



Di atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk dengan kecuaian memandu, seorang pesalah boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda hingga $5,000.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >