Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jelajah ke Afrika Selatan ikuti program pulihara haiwan

Apr 20, 2019 | 05:30 AM



RASA cinta serta semangat untuk memelihara alam sekitar serta menjaga kesejahteraan haiwan sudah wujud dalam diri beliau sejak kecil.



Namun, sepanjang berada di bangku sekolah hingga ke universiti, Cik Anisa Abdullah, 25 tahun, tidak dapat memperuntukkan masa bagi meneruskan minatnya itu.



Sejak menamatkan pelajaran di SIM Global Education-Universiti RMIT sekitar setahun lalu dalam kursus Komunikasi Massa, Cik Anisa terus memburu peluang untuk menceburi bidang yang diminatinya itu.



Apabila beliau menemui video 'The Lion Whisperer' Kevin Richardson di YouTube, semangat Cik Anisa terus membara.



Encik Richardson merupakan seorang warga Afrika Selatan yang telah menubuhkan kawasan perlindungan haiwan Kevin Richardson Wildlife Sanctuary untuk singa dan haiwan liar lain yang telah diselamatkan daripada perangkap dan tidak dijaga dengan baik.



Kawasan perlindungan tersebut turut menawarkan program bagi mereka yang ingin menjadi sukarelawan dan mempelajari tentang usaha pemuliharaan haiwan di sana.



Cik Anisa membuat permohonan untuk menyertai program itu dan permohonannya diterima.



Beliau telah meluangkan masa selama sebulan dalam program di Afrika Selatan itu pada Februari lalu.



"Memang saya minat dengan video beliau dengan singa-singa yang dijaganya, dan ini mendorong saya mahu melakukan sesuatu yang berkaitan dengan minat terhadap usaha pemuliharaan selagi ada masa dan peluang.



"Sejak akhir tahun lalu saya mula membuat rancangan dan berjimat untuk mencapai impian saya ke sana," kata Cik Anisa.



Menurut Cik Anisa, tujuan utama beliau ke sana adalah mempelajari usaha sebenar pemuliharaan haiwan.



"Ramai yang salah anggap apabila menyebut tentang usaha pemuliharaan haiwan. Mereka gambarkan haiwan yang dipeluk-peluk dan bermain dengan mereka, tetapi realiti di sebalik usaha ini memang tidak 'seindah' itu kerana ia bukan kerja senang," katanya.



Beliau berkongsi bagaimana beliau terpaksa memotong kayu dan juga mencincang daging kuda untuk diberikan kepada haiwan dalam kawasan perlindungan tersebut.



Terdapat dua usaha pemuliharaan haiwan. Salah satu daripadanya adalah seperti yang dilakukan Encik Richardson di mana haiwan yang sebelum ini membesar dalam perangkap atau tawanan diselamatkan dan dijaga dengan baik dan tidak dibebaskan kerana ia tidak biasa hidup liar.



Usaha kedua adalah memastikan haiwan liar tidak terancam disebabkan perbuatan manusia.



Selain meluangkan tempoh sebulan dalam program Kevin Richardson itu, Cik Anisa turut menyertai Program Kewartawanan Alam Sekitar di Afrika Selatan di mana beliau belajar secara langsung menulis bahan-bahan yang menyentuh tentang isu alam sekitar.



Program itu juga berlangsung selama sebulan.



Pengalaman serta pengetahuan yang ditimba melalui kedua-dua program tersebut meningkatkan lagi kesedaran Cik Anisa tentang kesan perbuatan manusia terhadap haiwan dan alam sekitar.



"Apa yang saya dapat pelajari daripada pengalaman saya di sana adalah apabila kita hendak melakukan sesuatu, kita harus fikir tentang generasi akan datang.



"Dalam negara maju seperti Singapura, biasanya ramai orang memilih jalan mudah tanpa memikirkan kesan perbuatan itu," ujarnya.



Beliau berusaha menjalani kehidupan yang lebih alami termasuk menyediakan eko-kit atau perkakas semula sendiri yang terdiri daripada bekas makanan, cawan dan straw yang boleh diguna semula.



Selain itu, beliau juga berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat, antaranya melalui pos di media sosial.



"Peranan pendidikan amat penting kerana kalau tak tahu maka tak cinta atau mungkin takut perkara yang tidak diketahui.



"Saya berharap mereka akan berusaha ambil tahu dan memahami keadaan bumi kita sekarang. Daripada situ mereka mungkin mula bertindak," katanya.



Cik Anisa, yang kini bekerja sebagai penulis bebas, merancang kembali ke Afrika Selatan untuk menjalani program berbeza yang juga berkaitan dengan usaha memulihara binatang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >