Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jemaah boleh pilih 10 pakej haji

May 03, 2022 | 05:30 AM



EJEN penjualan pakej haji (GSA) menawarkan 10 pakej haji setelah dilantik oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mengendalikan ibadah haji tahun ini.



Ini setelah Muis semalam mengumumkan bahawa ia telah melantik dua Ejen Penjualan Individu (IGSA) dan dua GSA Konsortium (CGSA).



Harga pakej paling rendah yang ditawarkan ialah $6,830 bagi penginapan untuk empat orang sebilik, manakala yang tertinggi adalah $15,125 bagi dua orang sebilik.



Menurut Muis, IGSA yang dilantik adalah syarikat Halijah Travels dan Shahidah Travel & Tours.



Sementara itu, CGSA yang telah dilantik adalah syarikat Jalaluddin Travel & Services dan TM Fouzy Travel & Tours selaku ejen utama.



Syarikat Jalaluddin Travel & Services akan mengetuai konsortium meliputi Hagel Travel & Tours dan Noor Mohamad Services & Travel, manakala konsortium diketuai TM Fouzy akan meliputi Hamidah Travel & Tours dan Hahnemann Travel & Tours.



Muis berkata bakal jemaah haji Singapura boleh memilih daripada 10 pakej yang telah diluluskan.



Pakej yang ditawarkan terdiri daripada pakej jangka pendek, iaitu perjalanan dan penginapan dengan tempoh antara 14 dengan 23 hari.



Lagi lima pakej ialah pakej jangka panjang melibatkan tempoh antara 25 dengan 29 hari.



Menurut ejen penjualan pakej haji (GSA) yang dihubungi Berita Harian (BH), secara umum harga pakej adalah lebih tinggi dari harga sebelum Covid-19.



Ia disebabkan harga perkhidmatan haji, tiket penerbangan dan penginapan yang menyaksikan kenaikan sehingga 30 peratus, kata mereka.



Tinjauan BH mendapati kos bagi setiap tiket penerbangan ke Jeddah dari Singapura berharga antara $1,300 dan $1,700.



Pembiayaan Masyair (pergerakan antara Makkah-Arafah-Muzdalifa-Mina) turut menyaksikan peningkatan yang agak mendadak dengan harga dianggarkan antara $5,000 hingga $9,000.



Pengarah Syarikat Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Cik Noor Faizah Mustaffa berkata kenaikan yang berganda untuk khidmat Masyair ini merupakan sesuatu yang mereka jangkakan.



"Sebelum ini, harga Masyair sekitar $1,000. Kenaikan yang berganda ini amat memeranjatkan.



"Namun begitu, ibadah haji yang dilaksanakan di waktu pandemik ini menjana harga yang juga tidak pernah dilihat sebelum ini," ujar beliau.



Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid pula berkata ini menjadi satu cabaran bagi pihak penyedia untuk menawarkan pakej yang berpatutan dan dapat mengurangkan kos untuk para jemaah.



"Kami diberitahu bahawa kenaikan harga yang tinggi ini bagi Masyair adalah kerana ia telah diswastakan.



"Sehingga kini, kami belum mendapat berita tentang harga Masyair yang ditetapkan untuk jemaah Singapura kami.



"Justeru, pakej yang kami tawarkan untuk tahun ini tidak termasuk harga Masyair, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana kosnya termasuk sekali dalam harga pakej," jelas Encik Haffidz.



Tahun ini, syarikat Halijah Travels menawarkan pakej Halijah 3ST, yang termasuk Makkah, selama 23 hari, dengan harga $10,010 untuk dua orang sebilik. Ini berbanding $10,640 untuk pakej yang ditawarkan pada 2020.



Ini bermakna kos pakej haji boleh mencecah sekitar $20,000, jika biaya Masyair dan kos perkhidmatan haji, tiket penerbangan dan penginapan terbaru diambil kira.



Seramai 407 jemaah dari Singapura bakal menunaikan rukun Islam yang kelima tahun ini.



Ia adalah kira-kira 45 peratus daripada kuota rasmi negara sebanyak 900 jemaah sebelum ini, kata Muis sebelum ini.



Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi (KSA) mengumumkan sekitar sejuta jemaah akan dapat menunaikan ibadah haji tahun ini, yang turut merangkumi sekitar 850,000 jemaah antarabangsa. Ia juga mengumumkan beberapa peraturan baru bagi musim haji tahun ini termasuk hanya membenarkan mereka berumur 65 tahun ke bawah.



Jemaah Singapura dapat menunaikan ibadah haji tahun ini selepas penangguhan sepanjang dua tahun lalu.



Muis menyatakan ia akan mengeluarkan surat rasmi tawaran menunaikan haji 2022 kepada mereka yang layak pada Khamis, 5 Mei.



LAPORAN SELANJUTNYA: Muis gesa jemaah haji nilai pakej ikut keperluan, kemampuan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >