Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jemaah SG diuji positif tak perlu rawatan hospital, dapat tunai ibadah haji

Langkah proaktif akan diambil pastikan jangkitan tidak disebar bagi mereka yang bakal berangkat pulang
Jul 13, 2022 | 05:30 AM



TIADA jemaah haji Singapura yang disahkan positif Covid-19 ketika di Arab Saudi perlu dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.



Kesemua mereka mengalami simptom ringan dan dapat menyempurnakan ibadah haji mereka, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Bagi jemaah yang bakal berangkat pulang ke Singapura dalam beberapa hari dan minggu akan datang ini, beberapa langkah proaktif akan diambil bagi memastikan mereka tidak, secara tidak sengaja, menyebarkan jangkitan itu kepada masyarakat di sini.



Antara lain, jemaah akan diberikan kit ujian pantas antigen (ART) bagi menguji diri sendiri sebelum berangkat pulang ke tanah air.



Dalam satu video yang dirakam kelmarin dan dikongsi dengan media, Encik Masagos berkata sejumlah 44 jemaah Singapura disahkan positif Covid-19 kelmarin dan hari sebelumnya.



"Ini tidak memeranjatkan kerana setiap kali habis wuquf, ramai jemaah menghidap penyakit-penyakit yang biasa dalam suasana yang begitu ramai berkumpul. Tapi mereka dalam keadaan yang tidak berat. Kebanyakan mereka mengalami simptom demam biasa," kata Encik Masagos, yang turut mengerjakan haji tahun ini.



"Oleh itu, saya telah meminta pihak MOH (Kementerian Kesihatan) supaya mempersiapkan nanti apabila mereka pulang ke Singapura," tambahnya.



Dalam video itu, Encik Masagos turut memberi pesanan kepada jemaah yang bakal pulang ke tanah air dalam beberapa hari dan minggu akan datang.



Beliau berpesan kepada jemaah agar mengingatkan kenalan mereka untuk tidak menunggu di lapangan terbang atau di rumah secara beramai-ramai bagi menyambut kepulangan mereka, kerana dikhuatiri mereka membawa jangkitan yang belum dikesan.



Encik Masagos meminta jemaah mengasingkan diri di rumah selama lima hingga tujuh hari bagi memastikan diri mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.



Dalam tempoh lima hingga tujuh hari itu juga Encik Masagos meminta agar jemaah elakkan daripada bercampur dengan masyarakat yang berkumpul beramai-ramai atau mengadakan majlis kenduri selamat.



Beliau menambah bahawa MOH akan memberi setiap jemaah yang pulang ke tanah air beberapa kit ART secara percuma untuk mereka uji diri mereka sendiri setiap hari sebelum keluar dari rumah. Ini perlu dilakukan selama lima hingga tujuh hari. Mereka yang diuji negatif boleh keluar rumah.



"Ini adalah satu tanggungjawab kita sebagai orang Islam, apa lagi kita pulang dari haji. Kita menunjukkan keprihatinan kita untuk keselamatan masyarakat. Kita pulang dari tanah suci ini mungkin membawa jangkitan yang kita tidak tahu, tetapi dengan menjaga keselamatan sama-sama dan menguji diri sendiri dengan ART, insya-Allah masyarakat dan diri kita sendiri dan keluarga kita akan selamat," kata Encik Masagos.



Beliau meluahkan rasa syukur melihat semua jemaah Singapura dapat berwuquf di Arafah walaupun dalam keadaan sakit kerana menghidap Covid-19.



"Waktu itu lebih kurang 30 jemaah yang sakit, dan satu itu agak berat sikit tapi semua dapat hadir di padang Arafah, maka mereka dapat menunaikan rukun haji yang sangat penting itu," kata Encik Masagos.



"Kemudian mereka telah dibawa ke Muzdalifah, kemudian juga ke Mina dan melontar Jamrah Aqabah.



"Setelah itu, hari-hari berikutnya hingga hari ini, mereka telah menyempurnakan lagi haji mereka dengan Tawaf Ifadah juga sai... dan juga Jamrah, hinggakan ada yang sudah habis Nafar Awal (dua hari melakukan ibadah melontar tiga Jamrah) dan sudah menyempurnakan ibadah mereka. Doa saya semua mendapat haji yang mabrur," tambanya.




"Ini tidak memeranjatkan kerana setiap kali habis wuquf, ramai jemaah menghidap penyakit-penyakit yang biasa dalam suasana yang begitu ramai berkumpul. Tapi mereka dalam keadaan yang tidak berat. Kebanyakan mereka mengalami simptom demam biasa.

Oleh itu, saya telah meminta pihak MOH (Kementerian Kesihatan) supaya mempersiapkan nanti apabila mereka pulang ke Singapura."

- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >