Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Jemaah umrah diberi cukup masa selesaikan ibadah

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

LAWATAN AMTAS KE TANAH SUCI

Jemaah umrah diberi cukup masa selesaikan ibadah

Sistem tempah slot masuk ke Masjidil Haram pastikan pelaksanaan ibadah lebih teratur
Oct 27, 2021 | 05:30 AM

JEMAAH yang ingin melaksanakan umrah tidak perlu khuatir sekiranya langkah diperketat baru di Masjidil Haram menjejas ibadah mereka.

Ini kerana terdapat masa yang secukupnya untuk menyelesaikan ibadah itu dan melalui kaedah tempahan digital serta laluan satu hala bagi melaksanakan tertib umrah, pelaksanaan ibadah itu buat masa ini lebih teratur dan tersusun.

Antara peraturan baru yang diterapkan adalah hanya jemaah yang mempunyai tempahan terdahulu - sama ada diatur oleh pihak pelancongan dan pengembaraan Arab Saudi atau ditempah menerusi aplikasi Etamarna, berpakaian ihram selain divaksin penuh dibolehkan masuk ke Masjidil Haram.

Tempahan solat lima waktu juga perlu ditempah menerusi aplikasi Etamarna terlebih dahulu juga.

Jemaah akan memasuki masjid itu menerusi beberapa pusat pemeriksaan tertentu, melaksanakan umrah berdasarkan tertibnya melalui perjalanan satu hala; iaitu bertawaf tujuh pusingan di kawasan mataf dekat dengan Kaabah, bersolat di hujung mataf di belakang tapak Nabi Ibrahim, membuat tujuh pusingan sai dan kemudian perlu meninggalkan premis masjid tersebut selepas selesai sai, juga di kawasan tertentu.

Jemaah tidak dibenarkan bergerak secara bebas di dalam masjid itu, berjalan melawan arus tertib umrah, dan pegawai pula akan menyuruh jemaah beredar jika berhenti di kawasan beribadah buat masa yang berpanjangan.

Berita Harian (BH) telah membuat tinjauan ini menerusi dua tempahan umrah, iaitu dengan atur cara oleh pihak Biro Pelancongan dan Perjalanan Arab Saudi (STTB) yang ditawar bagi setiap pemegang visa umrah malam kelmarin, dan juga menerusi tempahan sendiri melalui aplikasi Etamarna pagi semalam.

Tiada perbezaan antara atur cara umrah bagi kedua-dua jenis tempahan itu, namun setiap tempahan di aplikasi Etamarna mencatatkan had tempoh umrah sepanjang tiga jam.

Ketika BH berada di masjid itu, tiada penguatkuasaan yang dijalankan untuk meneliti masa yang diambil jemaah melaksanakan umrah.

Ini bermakna, jemaah bebas melaksanakan umrah menurut masa masing-masing.

"Sistem baru ini mampu mengawal kesesakan di kawasan mataf," kata Ustaz Jalaluddin Hassan.

Beliau merupakan pemimpin pasukan pembelajaran Persatuan Agensi Pelancongan Muslim Singapura (Amtas) yang ditugaskan melaksanakan tinjauan protokol keselamatan Covid-19 di Madinah dan Makkah bagi jemaah Singapura.

Namun dengan peraturan baru itu juga, wakil-wakil ejen penyedia pakej umrah dan haji (GSA) telah melahirkan keprihatinan terhadap jemaah yang ingin melakukan tawaf lain selain tawaf umrah.

Menyusuli itu, beberapa wakil telah menempah slot ibadah umrah tambahan menerusi aplikasi Etamarna pada 9 pagi semalam waktu di sana.

Ada yang melaksanakan umrah secara tertibnya termasuk menjatuhkan niat di Miqat.

Ada yang hanya melaksanakan tawaf lain, namun tetap berpakaian ihram untuk diizinkan masuk Masjidil Haram.

"Tiada masalah bagi jemaah yang ingin menempah slot umrah berkali-kali untuk berbuat demikian," kata Encik Muhd Nazer Thoha, pengarah urusan Thoha Travels & Tours.

Tetapi jemaah harus memenuhi keperluan mempunyai tempahan di aplikasi Etamarna terlebih dahulu, dan memakai ihram bagi memasuki kawasan Masjidil Haram tidak kira jenis tawaf apa yang hendak dilakukan, katanya.

Beliau juga mendapati, jika jemaah ingin menempah slot umrah tambahan, mereka perlu selesaikan atau membatalkan slot yang sudah ditempah terdahulu itu, dan menunggu beberapa jam lagi untuk menempah slot tambahan.

Dengan itu, Ustaz Jalaluddin yang juga Naib Presiden Amtas berkata, meskipun pelaksanaan umrah tidak sebebas dahulu, jemaah boleh menjangkakan perjalanan yang teratur dalam melaksanakan umrah sekiranya pihak GSA (ejen-ejen penyedia pakej Umrah dan Haji) memilih Visa yang sesuai dengan kemampuan pengurusan kakitangan mereka.

Pasukan 14 wakil yang terdiri daripada 10 syarikat GSA, tiba di Makkah sekitar 9 malam kelmarin (semalam 3 pagi waktu Singapura) dan kemudian melaksanakan umrah dari 11 malam hingga dua pagi waktu di sana semalam.

Ia turut mengadakan mesyuarat post-mortem pada malam hari itu untuk berbincang tentang atur cara perjalanan serta pilihan visa yang paling sesuai bagi jemaah Singapura.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3