SEKUMPULAN jemaah umrah Singapura terkandas di Dubai akibat kabus tebal yang menyelubungi negara itu, namun difahamkan lebih separuh daripada mereka dijangka kembali ke tanah air esok.
Pengurus Hamidah Travel, Encik Badruzzaman Haji Abdul Majid berkata 46 jemaah yang mengikuti pakej umrah agensi itu, terkandas di sana.
Mereka telah menaiki pesawat Emirates dari Jeddah, Arab Saudi.
Seramai sembilan jemaah mendapat pengesahan mereka akan pulang menaiki pesawat pada 9.15 malam waktu Dubai hari ini manakala 32 jemaah masih menunggu pengesahan untuk berangkat pulang bagi penerbangan pada waktu yang sama.
Baki lima jemaah dijadual pulang ke Singapura menaiki pesawat pada 3.15 pagi waktu Dubai esok (27 Dis).
“Buat jemaah Hamidah Travel, Alhamdulillah, mereka dapat berehat di hotel semalam (25 Dis). Mereka ditempatkan di hotel dekat lapangan terbang. Semua makan minum diberi Emirates.
“Semua ditanggung mereka. Memang pada awalnya apabila jemaah sampai di Dubai, keadaan agak kecoh kerana ribuan penumpang dari luar negara semua sangkut di Dubai. Cuaca kabus di sini amat teruk sehinggakan pesawat tidak dapat mendarat atau berangkat,” kata beliau, yang berada di sana.
Akhbar The National dari Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), melaporkan kabus tebal telah menyelimuti negara itu sejak Jumaat lalu.
Keadaan itu menjejas penerbangan, menyebabkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang semasa musim cuti ini.