Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jemaah umrah terkandas kecewa; Rasman mohon maaf

Dec 07, 2019 | 05:30 AM



SEKUMPULAN jemaah umrah yang terkandas tanpa visa di Lapangan Terbang Changi memberitahu akhbar ini mereka berasa amat kecewa kerana hajat ke Tanah Suci tidak kesampaian.



Malah selepas diberitahu Encik Rasman Saridin - individu di tengah-tengah kontroversi itu - bahawa visa mereka telah diluluskan dan ada tarikh keberangkatan baru, sebahagian besar jemaah itu enggan menerima tawaran itu kerana tidak lagi percaya kepadanya.



Semasa ditemui Berita Harian (BH) semalam, Encik Rasman mengaku bertanggungjawab dan meminta maaf atas kejadian itu.



Bagaimanapun, Encik Rasman berkata beliau tidak berhasrat untuk menipu jemaah.



Hajat sekumpulan 41 jemaah, untuk menunaikan umrah, tidak kesampaian selepas mereka diberitahu oleh Encik Rasman bahawa visa mereka ke Tanah Suci belum diluluskan.



Mereka sepatutnya berangkat ke sana Khamis lalu untuk menunaikan umrah 12 hari bersama KhalifahSg Travel.



Encik Rasman ialah pengurus operasi KhalifahSG Travel.



"Saya memang silap kerana tidak sangka proses mendapatkan visa dari ejen di Saudi akan makan masa yang lama. Saya mohon maaf kepada semua jemaah yang terlibat. Sekarang visa mereka sudah diluluskan dan saya sedang usahakan keberangkatan mereka selewat-lewatnya 21 Disember ini.



"Saya sudah beritahu jemaah dan mohon kemaafan mereka," ujar beliau.



Seorang jemaah yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Zul, berkata Encik Rasman pada Isnin lalu memberitahu jemaah menerusi WhatsApp bahawa visa mereka telah diluluskan dan beliau akan cuba pastikan mereka dapat berangkat pada "selambat-lambatnya 8 Disember".



Tarikh itu kemudian ditukar kepada 21 Disember.



Difahamkan hanya sekitar 10 jemaah yang sanggup menunggu tarikh keberangkatan baru itu.



"Ini cuma visa. Hotel dan penerbangannya masih tanda tanya. Lagipun, tarikh baru itu di luar tempoh cuti. Dia (Encik Rasman) juga tidak bertauliah untuk menguruskan perjalanan umrah," kata Encik Zul, yang membelanjakan sekitar $6,600 untuk membeli pakej umrah bagi tiga orang.



Seorang lagi jemaah, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Siti, berkata beliau dan suami membuat keputusan tidak menerima tawaran baru itu kerana "sudah tawar hati".



"Kita hanya mahukan duit kita balik," kata beliau, yang telah membayar sekitar $4,400.



Kumpulan jemaah itu dijadual mengerjakan umrah bersama KhalifahSg Travel dari 28 November hingga 8 Disember. Firma itu menawarkan pakej umrah berharga antara $2,000 dengan $2,200 seorang.



Menurut Encik Rasman, beliau sedang berusaha mengembalikan sepenuhnya wang setiap jemaah yang tidak ingin mengambil pakej dengan tarikh baru yang ditawarkannya, tetapi meminta diberikan lebih banyak masa untuk memohon bayaran dikembalikan oleh hotel dan syarikat penerbangan.



"Buat masa ini saya tidak mampu memulangkan wang mereka dengan segera," kata Encik Rasman yang ditemui di pejabat Persatuan Hira di Bedok North Street 3. Encik Rasman juga pengasas persatuan itu dan pernah bergelar ustaz.



Namun, beliau telah digugurkan daripada senarai Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) sejak Mac 2018.



Beberapa jemaah yang terjejas itu telah mengirimkan e-mel kepada BH baru-baru ini untuk mengadu nasib mereka.



Difahamkan sebahagian daripada mereka telah membuat laporan polis.



Menurut Encik Zul, pada Khamis lalu - tarikh keberangkatan asal - Encik Rasman telah menghantar gambar resit menerusi WhatsApp kepada jemaah untuk menunjukkan bahawa bayaran visa mereka telah dilunaskan.



Resit itu bertarikh 26 November dan menunjukkan ia dibayar oleh SJ Holidays dan bukan KhalifahSg Travel.



Disebabkan itu, beberapa jemaah cuba menghubungi SJ Holidays untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu pula.



Bagaimanapun, SJ Holidays memberitahu akhbar ini bahawa ia tiada sebarang perjanjian kerjasama dengan KhalifahSg Travel untuk menawarkan pakej umrah (sila lihat laporan sisipan).



Encik Zul dan Cik Siti berkata mereka telah membuat laporan polis tentang kejadian itu.



Polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.



Difahami, Encik Rasman telah dipanggil ke balai polis dan dibenarkan pulang selepas disoal siasat.



Namun, akaun bank Encik Rasman kini dibeku, sementara passport dan telefon bimbitnya dirampas polis.



Menurut Encik Rasman, KhalifahSg Travel dimiliki seorang rakan, tetapi beliau beliau mengendalikan semua operasi syarikat itu.



Sebelum ini, Encik Rasman pernah memiliki firma khidmat umrah dan pelancongan, Azzam Travel & Tour, namun setelah mengisytihar dirinya muflis pada Disember 2017, syarikat tersebut terpaksa ditutup.



KhalifahSg Travel tidak tersenarai sebagai antara anggota Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) di laman persatuan itu.



Pengarah, Ejen Pelancongan dan Pemandu Pelancong, Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Encik Kenneth Lim, dalam kenyataannya kepada BH berkata STB sedar tentang maklum balas pengguna berhubung kejadian itu.



"Kami sedang meneliti perkara ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang perbuatan melanggar undang-undang yang relevan.



"Pengguna yang terjejas boleh mendekati mana-mana anggota Amtas untuk meneroka aturan perjalanan alternatif. Senarai anggota Amtas boleh didapati di laman Amtas di www.amtas.sg," kata beliau.




Kenyataan Muis



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati apabila mendapatkan khidmat individu atau ejen untuk melakukan umrah atau perkhidmatan berkaitan yang lain.



Merujuk kepada kes jemaah umrah yang terkandas itu, Muis dalam kenyataannya semalam, berkata ia tidak boleh mengulas lebih lanjut tentang kes itu kerana ia sedang disiasat polis.



Namun ia menjelaskan Encik Rasman tidak lagi diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Ia menasihatkan masyarakat supaya merujuk kepada senarai ejen pelancongan berlesan dalam Sistem Pelesenan Ejen Pelancongan dan Pemandu Pelancongnya (Trust), yang dikendalikan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >