JUMLAH keseluruhan jenayah yang dilaporkan di Singapura telah meningkat sebanyak 11.6 peratus dengan kenaikan mendadak bagi kes penipuan menjadi penyebab utama peningkatan itu lebih-lebih lagi sewaktu pandemik Covid-19 ini.
Polis mendedahkan, dalam 18,121 kes jenayah yang telah dilaporkan buat separuh pertama tahun ini secara keseluruhan - berbanding 16,240 kes bagi 2019 - sebanyak 7,253 kes melibatkan kes berkaitan 10 jenis jenayah penipuan tertinggi di Singapura.
Bilangan bagi kes penipuan tersebut telah meningkat secara mendadak buat tempoh ini dengan setinggi 139.6 peratus, iaitu daripada sejumlah 3,027 kes dilaporkan tahun lalu.
Jumlah wang yang telah ditipu berkaitan jenis penipuan itu juga telah meningkat dua kali ganda daripada $41.6 juta buat Januari hingga Jun 2019 kepada $82 juta pada 2020.
Dalam pada itu, polis turut mendedahkan empat jenis penipuan yang menjadi keprihatinan iaitu penipuan e-dagang, penyamaran media sosial, pinjaman wang dan penipuan berkaitan perbankan dan pancing data di mana jumlah kes bagi penipuan ini didapati naik mendadak sebanyak 163 peratus berbanding tahun lalu.
Namun, tanpa mengira kes penipuan, kes jenayah secara keseluruhan di Singapura telah merosot sebanyak 20.5 peratus daripada 12,770 kes pada 2019 kepada 10,151 kes buat tempoh berkenaan tahun ini.