JENGAH sekilas laluan Downtown Line 3 (DTL3) sebelum ia beroperasi dengan mengunjungi rumah terbuka laluan itu hari ini.
Dari 10 pagi hingga 6 petang ini, orang ramai boleh meninjau semua 16 stesen baru dan mengambil kereta api percuma di sepanjang laluan 21km sebelum pembukaan rasmi pada 21 Oktober. Masuk percuma dan tiket tidak diperlukan.
Antara acara ialah lawatan berpandu mengenai perlindungan Pertahanan Awam oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura di stesen Geylang Bahru, Reservoir Bedok dan Tampines West.
Pengunjung juga boleh membeli kereta kecil khas di dua kedai pop-up di stesen Fort Canning dan Tampines, yang dibina Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Pendapatan bersih daripda penjualan akan disalurkan ke Dana LTA Cares, yang menyokong keperluan pengangkutan golongan kurang bernasib baik.
Buku cerita pra-sekolah untuk kanak-kanak berumur antara empat dengan enam tahun, bertajuk Mindy's First MRT Adventure, akan dijual.
Kanak-kanak boleh mengumpul penanda buku yang direka khas di rumah terbuka dan menggunakannya untuk mendapatkan naskhah buku di tiga stesen DTL3: Fort Canning, MacPherson dan Expo.
Terdapat pertunjukan selebriti dan permainan, manakala kumpulan penggemar tempatan SGTrains akan mengendalikan gerai di stesen Fort Canning menampilkan simulator memandu kereta api yang boleh dicuba pengunjung.