Jerebu dijangka bertambah buruk pada Jumaat (2 Oktober), malah boleh mencecah paras tinggi julat sangat tidak sihat, iaitu julat 201-300 Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) 24 jam.
Ini boleh berlaku jika jerebu lebih padat ditiup ke sini oleh angin yang lazim bertiup dari tenggara atau selatan, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis.
Mutu udara dijangka berada antara paras tinggi julat tidak sihat dan pertengahan julat sangat tidak sihat, ujarnya.
Pada 9 malam Khamis, PSI 24 jam pada paras 149-190.
"Jerebu dari Sumatera dan Kalimantan masih merebak ke bahagian besar kawasan rantau sekitarnya," kata NEA.
Ia menasihatkan warga tua, wanita hamil dan kanak-kanak supaya mengurangkan kegiatan luar, dan mereka yang mempunyai penyakit paru-paru atau jantung kronik agar mengelakkan kegiatan itu sama sekali.
Bagi dua minggu akan datang, keadaan udara boleh kekal buruk dengan hujan lebih rendah daripada paras purata.
Hujan sekejap beserta guruh dan angin kencang selama empat hingga enam hari dijangka, kata NEA dalam satu kenyataan berasingan, sambil menambah bahawa paras hujan mungkin pada bawah paras normal.