WALAUPUN mutu udara didapati semakin pulih semalam (20 Sept), keadaan jerebu di paras ‘tidak sihat’ telah kembali melanda Singapura pada hari Sabtu (21 Sept), hari perlumbaan F1 yang kedua.
Menurut The Straits Times, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 Jam hampir mencapai paras ‘tidak sihat,’ setinggi 92 hingga 97 pada pagi hari Sabtu pukul 10 pagi, yang naik daripada bacaan setinggi 66 hingga 67 pada malam hari Jumaat pukul 10 malam.
Dalam satu taklimat bersama wartawan pada hari Jumaat, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata, bacaan PSI dijangka akan berada di paras sederhana di peringkat paling tinggi atau paras ‘tidak sihat’ di peringkat paling rendah bagi hari Sabtu.
Dalam beberapa hari yang akan datang ini, cuaca kering dijangka akan terus melanda selatan Sumatra, iaitu, kawasan sumber jerebu yang sedang dialami di negara Singapura, dan oleh itu, jika tiupan angin menuju dari arah situ ke Singapura, acara perlumbaan F1 akan diadakan dalam keadaan mutu udara yang ‘tidak sihat’.
Namun, NEA menjelaskan bahawa hujan akan mulai turun di selatan Sumatra pada akhir bulan ini, dan perkara itu mungkin akan membawa sedikit harapan bagi penduduk di rantau ini untuk menikmati mutu udara yang lebih baik.