JEWEL Changi Airport kini dibuka rasmi kepada orang ramai.
Sehingga 10 pagi tadi (17 April), kaunter daftar masuk awal telah memproses lebih 26 penumpang yang tiba beberapa jam sebelum penerbangan mereka untuk berkunjung ke kompleks 10 tingkat itu.
Antara mereka termasuk Encik Samir Chadha, 21 tahun, yang daftar masuk sekitar 10 pagi bagi penerbangannya ke Bangkok yang dijadual berlepas sekitar 12.55 petang dari Terminal 2.
Tambahnya, beliau sengaja datang ke Lapangan Terbang Changi awal untuk berkunjung ke Jewel.
Encik Sammy Estaban, 27 tahun, pula singgah di Jewel selepas tiba di Changi dari Korea Selatan sementara menanti penerbangannya pulang ke Filipina.
Warga Filipina itu berkata beliau merancang menghabiskan sekitar 10 jam di kompleks itu sebelum menaiki penerbangan Jet Airways ke Filipina dari Terminal 1.
Terletak bersebelahan Terminal 1, Jewel dihubungkan dengan Terminal 2 dan Terminal 3 menerusi travelator – laluan pejalan kaki yang bergerak secara mendatar.
Jewel antara lain mempunyai lebih 280 kedai serta cawangan makanan dan minuman.
Antara yang bakal menarik perhatian di sana juga termasuk air terjun setinggi 40 meter.
Sebanyak 26 syarikat penerbangan termasuk Singapore Airlines menawarkan khidmat daftar masuk awal di Jewel.