SALAM AIDILFITRI: Raya Selera Milenial

Jimat beraya... Sewa saja

Golongan milenial - yang berusia antara 22 dengan 38 tahun pada 2019 - dikenali dengan sifat mereka yang berani mencuba perkara baru, bijak menggunakan teknologi serta prihatin tentang isu di sekeliling mereka seperti sosial dan alam sekitar. Sifat itu juga membentuk cara mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri. ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) meninjau antara trend milenial menyambut Lebaran tahun ini.

DAHULU, beliau sanggup membelanjakan sehingga $1,500 bagi tiga baju Raya.

Namun tahun ini, perbelanjaan bagi baju Raya Cik Nurulhuda Zayani, 30 tahun, untuk dipakai sepanjang Syawal hanya mencecah beberapa ratus dolar.

Ibu dua anak yang berusia dua dan lima tahun itu lega dapat menjimatkan lebih wang tahun ini meskipun dengan satu syarat - baju itu harus dipulangkan.

Ini hasil satu khidmat sewa baju yang kian popular di kalangan golongan milenial seperti Cik Nurulhuda.

Eksekutif operasi itu menyewa baju daripada wadah The Fabrary yang diasaskan Cik Siti Arina Abu Bakar, 28 tahun.

Menerusi wadah yang dilancarkan April lalu itu, pengguna hanya perlu memilih baju yang mereka hendak sewa menerusi Instagram dan memesannya.

Kemudian, baju itu akan dihantar kepada mereka dan mereka boleh menyewanya selama empat hari sebelum ia harus dipulangkan.

Menurut Cik Arina, harga sewa setiap baju yang sesuai dipakai semasa Hari Raya ialah antara $30 dengan $50.

Antara jenama baju yang ditawarkan termasuk Katt Ibrahim, Fiziwoo, Mimpikita, Whimsigirl, Jannah Noe dan Alia B.

Bagi Cik Nurulhuda, beliau tertarik menggunakan khidmat itu kerana ini bermakna beliau boleh menggayakan pelbagai rekaan baju tanpa perlu menghabiskan ratusan dolar bagi setiap helai.

"Kalau dahulu belum kahwin, bolehlah nak belanja $300 hingga $500 bagi setiap baju tapi dengan dua anak sekarang, saya rasa saya boleh gunakan wang itu bagi tujuan yang lebih berfaedah. Itu pun dulu saya hanya pakai baju Raya saya dua tiga kali sahaja - semasa Hari Raya dan untuk ke beberapa majlis perkahwinan kerana kalau boleh, saya taknak dilihat memakai baju yang sama untuk pergi ke acara atau majlis perkahwinan.

"Lagipun, tubuh wanita ini berubah-ubah dengan usia yang meningkat dan selepas melahirkan anak, jadi kami tak muat memakai sesetengah baju lama," ujarnya.

Tahun ini, beliau membeli sepasang baju yang berharga $100 dari dalam talian untuk dipakai hari ini dan merancang menyewa baju menerusi The Fabrary untuk berkunjung ke rumah saudara-mara dan teman-teman selepas ini.

Selain menjimatkan wang, khidmat sewa baju ini juga dapat menjimatkan ruang almari dan lebih mesra alam, menurut Cik Sabrina Marican, 26 tahun.

Pemilik jenama kasut Sabrina Marican Shoes itu mempunyai langganan bulanan dengan wadah sewa baju dan beg Style Theory sejak Oktober lalu. Langganannya itu ditaja Style Theory.

Sebelum ini, beliau mengaku akan memakai baju Raya yang dibelinya dua kali sahaja sebelum ia ditinggalkan dalam almari beliau.

"Selepas itu, baju saya kumpul habuk saja dalam almari dan ruang almari saya pun bertambah sedikit sehingga ibu saya pun berleter. Jadi saya rasa dengan menyewa baju, saya tidak perlu bimbang bagaimana untuk menyimpannya dan mencuci baju saya kerana selepas saya tidak mahu memakainya lagi, saya boleh pulangkannya. Saya pun tidak perlu membuang baju lama dan saya rasa ini satu cara yang lebih mesra alam," ujarnya yang juga sedang mengikuti pengajian di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Style Theory menawarkan pelbagai pelan langganan. Bagi $129 sebulan misalnya, pelanggan boleh menyewa baju tanpa had jumlah sepanjang bulan.

Namun, mereka terhad pada tiga helai setiap kali dan selepas mereka memulangkannya, mereka boleh menyewa tiga lagi baju lain.

Ini merupakan kali pertama Cik Sabrina menggunakan khidmat Style Theory bagi Hari Raya.

Selain pakaian, beliau juga menyewa beg jenama Chloe daripada Style Theory untuk digayakan Syawal ini.

"Saya rasa mudah menggunakan wadah ini kerana saya boleh melihat koleksi mereka menerusi telefon bimbit saya dan menyewa apa yang saya ingin pakai dengan beberapa klik sahaja. Selepas itu, ia dihantar ke rumah saya.

"Dengan pelbagai rekaan baju yang ditawarkan, tidak susah juga untuk saya mencari baju untuk dipadankan dengan keluarga saya," katanya.