DENGAN harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang melambung tinggi, pilihan mendapatkan kereta sewa berbanding memiliki kereta baru sendiri lebih berbaloi pada pandangan Cik Sheila Salleh.
Bukan hanya beliau dapat elak menanggung beban membayar pinjaman, malah beliau juga tidak perlu pening kepala memikirkan soal penyenggaraan kereta dan kosnya.
Dek harga COE yang meningkat, Cik Sheila, 43 tahun, memutuskan untuk menyewa kereta bagi tempoh setahun berbanding membeli kereta baru.
Sejak sekitar lima bulan lalu, beliau menyewa kereta Mitsubishi Attrage daripada sebuah syarikat kereta di sini dengan harga sewa bulanan sekitar $1,200.
"Yang pertama, saya mahu elak mempunyai pinjaman dan oleh itu, saya menyewa kereta ini.
"Yang kedua pula, saya tidak perlu risau tentang soal pembaikan atau penyenggaraan kereta.
"Sekiranya ada kerja pembaikan atau penyenggaraan yang perlu dilakukan, ia akan diuruskan syarikat kereta sewa ini. Saya tidak perlu fikirkan tentang kos tambahan," kata pengasas syarikat penyedia latihan muzik untuk guru, Sonnets & Song, itu.
Usaha mendapatkan kereta sewa berbanding memiliki kereta baru sendiri kian menjadi pilihan utama ramai setelah premium COE secara berterusan meningkat.
Minggu lalu, premium COE naik dalam semua kategori dalam tender terkini, dengan harga kategori Terbuka meningkat kepada paras tertinggi, mencapai $116,577.
Rekod premium baru juga dilihat dalam dua kategori lain - $115,388 bagi kategori kereta lebih 1,600cc atau 130bhp dan kenderaan elektrik dengan lebih 110 kilowatt kuasa, dan $13,189 bagi motosikal.
Cik Sheila berkata beliau dapat menjimatkan kos sekitar $400 hingga $500 setiap bulan dengan menggunakan kereta sewa berbanding memiliki kereta sendiri.
Menurutnya, kereta sewanya juga jimat bahan api, dengan beliau membelanjakan sekitar $70 atau kurang setiap minggu untuk membeli minyak petrol.
"Dengan harga barang yang serba serbi naik, kita sebagai pengguna perlu memikirkan tentang kos dan juga menyesuaikan jangkaan kita.
"Lagipun, jika difikirkan, anggaran harga antara kereta sewa dengan kereta sendiri lebih kurang sama.
"Namun, dengan kereta sewa, kita tidak perlu risau tentang keperluan untuk periksa kereta, lakukan penyenggaraan dan sebagainya kerana semuanya diuruskan syarikat kereta," kata beliau.