MULAI hari ini, syarikat penerbangan tidak lagi dibenarkan menjual tiket penerbangan ke Singapura menerusi laluan perjalanan bagi yang sudah menjalani vaksinasi (VTL), sedang negara ini mengetatkan sempadannya di tengah-tengah peningkatan bilangan kes import Covid-19 yang mencapai angka tertinggi sejak varian Omicron muncul.
Penggantungan jualan tiket ini yang berkuatkuasa sehingga 20 Januari 2022 juga dikenakan ke atas pengendali khidmat bas bagi VTL darat Singapura-Malaysia.
Namun, penumpang yang sudah membeli tiket sebelum ini masih dibenarkan memasuki Singapura melalui skim tanpa kuarantin itu, umum Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai sekatan baru itu semalam.
"Langkah-langkah yang diambil di sempadan kita akan memberi kita masa untuk mengkaji dan memahami varian Omicron dan untuk memperkukuh pertahanan kita, termasuk mempertingkatkan keupayaan jagaan kesihatan kita dan mendorong lebih ramai orang mendapatkan vaksinasi dan dos penggalak," kata MOH.
Singapura sejauh ini melaporkan 71 kes Omicron yang dikesan di Singapura, dengan 65 kes import dan enam kes tempatan.
LAPORAN SELANJUTNYA: Kapasiti, tiket VTL dikurangi separuh mulai 21 Jan