Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Juara 'Voice Asia' kembali warnai dunia seni

Oct 11, 2018 | 05:30 AM



SEBUT nama Karim Supnan, ramai yang akan mengingati suara merdu bakat setempat yang menjuarai pertandingan Voice Asia '98.



Beliau juga pernah muncul sebagai finalis Anugerah 12 dengan impiannya merakam album di bawah terbitan Razzi M Productions tercapai.



Namun, Karim bagaikan menghilang daripada persada seni suara selama 18 tahun meskipun peminat merindui suara emasnya.



Pada usianya yang mencecah 48 tahun kini, segala rindu peminatnya terubat apabila lagu yang sudah 'diperam' selama tempoh 'kehilangannya' berjaya dirakam sebagai sebuah single.



Masih Ada Cinta hasil ciptaan dan tulisan lirik Iskandar Rahmat (Baba) sudah diterbitkan dan kini boleh dinikmati menerusi gedung digital Spotify.



Pihak pengurusan Karim di bawah teraju aktivis seni, Hamid Osman, juga menghasilkan cakera padat dan DVD (2-dalam-1) lagu tersebut sebagai santapan halwa telinga dan mata peminat setia Karim.



Ketika ditemui di pejabat Berita Harian, baru-baru ini, Karim menceritakan beliau tidak menghilang sebaliknya sibuk dengan kerjaya belayar ke merata dunia.



"Saya adalah pakar luar pesisir yang perlu belayar ke sana sini. Kerana banyak komitmen tugas di luar Singapura, saya tidak mampu menolak pekerjaan tersebut hanya untuk nyanyian.



"Bidang nyanyian memang sudah mendarah daging dalam diri saya. Macam mana saya jauhkan diri pun, saya tetap akan rindu bidang ini.



"Sejujurnya, saya terasa kerjaya nyanyian tidak menjanjikan apa-apa kalau kita melakukannya sepenuh masa di Singapura.



"Tapi dalam masa terluang yang ada, minat mendalam ini tidak boleh disia-siakan begitu sahaja. Maka, dalam kesibukan saya belayar ke Mexico, Venezuela dan Kepulauan Caribbean, saya merakam Masih Ada Cinta sebagai penawar buat semua.



"Lagipun, pada waktu itu, industri minyak dan gas sedang terjejas dek penyusunan semula ekonomi. Dalam masa terluang itu, saya merasakan perlu buat sesuatu pada kerjaya nyanyian saya," ceritanya.



Karim menghasilkan single atas usulan Hamid yang pada waktu itu bakal melalui pembedahan lencongan jantung sekitar lewat Jun lalu.



Hamid, 50 tahun, yang hadir sewaktu wawancara, berkata:



"Saya sedang bertarung dengan nyawa pada waktu itu. Saya terfikir, sayang kalau lagu Masih Ada Cinta yang sudah dihasilkan 18 tahun lalu, tidak dirakam sebagai single.



"Walhal, lagu itu dicipta bagi satu peraduan mencipta lagu di televisyen tetapi tidak dipilih sebagai pemenang. Maka, potensinya tetap ada, lebih-lebih lagi sebagai lagu kembalinya Karim Supnan dalam persada hiburan tanah air."



Kerana sudah lama tidak terlibat dalam proses merakam lagu di studio, kededuanya mendapati banyak perubahan dari segi kos dan juga teknologi yang digunakan.



"Nak bikin satu lagu sahaja boleh mencecah $20,000 di Singapura! Ia melebihi kos saya bikin album terbitan sendiri dahulu.



"Akhirnya, kami bersyukur dapat bantuan Jaybon dan Addy Cradle di Studio 47. Lagu lama ini diberi sentuhan baru dengan suntikan ala Korea bagi memenuhi cita rasa masa kini," ujar Karim.



Bagi merancakkan semula penglibatan Karim dalam industri seni, bakat itu juga mengisi laman media sosialnya dengan komen yang dirakam dalam bentuk video tentang isu hiburan semasa.



"Sekurang-kurangnya, orang akan tahu bahawa Karim bukan sahaja anak seni yang menyanyi malah prihatin tentang apa yang berlaku dalam persada seni Singapura," jelas Hamid.




"Saya adalah pakar luar pesisir yang perlu belayar ke sana sini. Kerana banyak komitmen tugas di luar Singapura, saya tidak mampu menolak pekerjaan tersebut hanya untuk nyanyian."
- Karim Supnan yang pernah menjuarai pertandingan Voice Asia '98.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >