JUMLAH penumpang kereta api telah merosot sebanyak 80 peratus sejak wabak koronavirus bermula pada lewat Januari lalu, kata Menteri Pengangkutan Encik Khaw Boon Wan hari ini.
Jumlah itu merupakan empat kali ganda jumlah kemerosotan penumpang sewaktu wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003, tambah beliau dalam satu catatan di Facebook setelah mengadakan lawatan ke stesen MRT Bishan awal pagi tadi.
Jelas Encik Khaw, ketika tempoh paling teruk wabak Sars, permintaan khidmat pengangkutan kereta api merosot sebanyak 20 peratus, lapor The Straits Times (ST).
"Satu manfaat adalah ia membolehkan kami mematuhi langkah jarak selamat," katanya.
Sehingga kini, pelekat tanda jarak selamat telah ditampalkan di kereta api, stesen MRT, perhentian bas dan tempat penukaran pengangkutan serta kawasan berdiri dan tempat duduk di dalam kereta api dan bas.