JUMLAH urus niaga kondominium jualan semula merosot 11.6 peratus bulan lalu selepas meningkat pada September, mencerminkan kesan langkah pemerintah meredakan pasaran hartanah,
Namun, harga meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus bulan lalu, pada kadar lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya, menurut perangkaan terbaru gerbang hartanah SRX dan 99.co semalam.
Sebanyak 1,240 unit kondominium bertukar tangan bulan lalu, berbanding 1,402 pada September.
Jika dibandingkan dengan setahun lalu, jumlah itu susut 24.2 peratus.
Majoriti urus niaga atau 61.1 peratus adalah dari kawasan luar bandar, diikuti dengan pinggir kawasan bandar sebanyak 23 peratus dan kawasan bandar sebanyak 15.9 peratus.
Harga kondominium di dalam kawasan bandar susut 1.1 peratus tetapi meningkat 0.6 peratus bagi luar dan pinggir kawasan bandar.
Secara keseluruhan, harga kondominium itu adalah 10.5 peratus lebih tinggi dari setahun lalu.
Paling mahal ialah unit kondominium di 3 Orchard By-The-Park yang dijual pada harga $13 juta.
Ini diikuti dengan unit di pinggir kawasan bandar yang dijual pada harga $12.5 juta di Reflections at Keppel Bay.
Keuntungan modal median secara keseluruhan bagi kondominium jualan semula ialah $305,981 pada bulan lalu, susut sebanyak $14,819 pada September.
Distrik 21 (Clementi Park dan Upper Bukit Timah) mencatatkan keuntungan modal median tertinggi sebanyak $688,056, manakala Distrik 12 (Balestier dan Toa Payoh) mencatatkan keuntungan modal median terendah sebanyak $156,500.