Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jururawat bekas pesakit barah guna pengalaman bantu pesakit serupa

Feb 09, 2022 | 05:30 AM



SEBAGAI seorang yang pernah bertarung dengan barah, Cik Zulfa Anas amat memahami perasaan dan tekanan yang dialami pesakit barah, terutama yang baru disahkan menghidap penyakit tersebut.



Justeru, dalam melakukan tugasnya sebagai jururawat di Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), dia cuba menggunakan pengalaman lalunya itu untuk membantu pesakit yang ditemui.



"Saya rasa saya lebih memahami apa yang mereka lalui. Selepas pesakit keluar dari bilik doktor saya akan berbual perlahan-lahan dengan mereka dan memberitahu mereka bahawa saya sendiri pernah mengalami barah," kata Cik Zulfa, 52 tahun.



"Saya akan cuba menjawab pertanyaan mereka seperti makanan apa yang boleh dimakan dan yang mana perlu dielakkan. Saya bawakan minyak angin untuk pesakit yang merasa loya ketika menjalani rawatan. Saya juga menasihatkan pesakit yang baru menjalani pembedahan agar tidak takut-takut untuk menggerakkan dan meregangkan bahagian yang dibedah itu agar tidak menjadi kejang," tambahnya.



Cik Zulfa, yang telah menjadi jururawat selama 32 tahun, antara lapan penerima anugerah Superstar di Anugerah Khidmat Bermutu Kesihatan Singapura ke-12 semalam.



Anugerah itu diberikan kepada pemenang teratas dari kategori pentadbiran, kesihatan bersekutu, kejururawatan dan klinisian.



Ibu dua anak itu pertama kali disahkan menghidap barah tulang sekitar 15 tahun lalu apabila anak sulungnya berusia tiga tahun dan anak bongsunya berusia tujuh bulan.



Dia melakukan pembedahan untuk mengeluarkan tumor dan kemudian beransur pulih.



Tetapi barah itu kembali menyerang dua tahun kemudian, dan dia menjalani pembedahan sekali lagi dan juga rawatan kemoterapi.



Tiga tahun lalu dia disahkan menghidap barah buah dada pula dan telah pun menjalani pembedahan.



Sebelum Cik Zulfa disahkan menghidap barah, dia telah menyaksikan ibunya sendiri melawan barah rahim ketika beliau berusia 15 tahun, dan dari situ timbul minatnya untuk menjadi seorang jururawat.



Cik Zulfa kini bekerja sambilan di NCCS dari 9 pagi hingga 1.30 petang kerana mendapati dirinya cepat penat dan tidak begitu kuat selepas menjalani pembedahan terakhirnya.



Kerjanya termasuk membimbing pesakit yang baru disahkan menghidap barah, dan juga menolong doktor melakukan prosedur perubatan.



"Saya pernah menemui seorang pesakit Cina yang tidak mahu menjalani pembedahan setelah disahkan menghidap barah. Saya beritahunya yang saya juga telah menjalani pembedahan dan kemoterapi dan saya okey.



"Akhirnya dia setuju untuk menjalani rawatan dan setiap kali dia menemui doktor, dia akan mencari saya juga. Dia kata saya telah banyak membantunya untuk tidak berasa takut. Saya rasa puas hati apabila melihat keceriaan pada mukanya dan pesakit-pesakit lain yang berjaya mengatasi barah dan menjalani kehidupan mereka seperti biasa," kata Cik Zulfa.



Sifat prihatinnya kepada mereka yang memerlukan bantuan turut dilihat di luar hospital apabila dia membantu menjaga seorang pesakit barah yang hidup sebatang kara di sebuah flat sewa.



Cik Zulfa mengemaskan rumah wanita Melayu berusia 40-an tahun itu, membelikannya tilam dan barang keperluan dapur serta memasak untuknya apabila keadaannya semakin lemah.



Apabila wanita itu meninggal dunia tahun lalu, Cik Zulfa membantu memandikan dan mengkafankan rakan yang dikenalinya selama setahun itu.



"Bagi saya kita mesti membantu satu sama lain tanpa mengira bangsa atau agama. Kita tidak boleh biarkan mereka yang memerlukan bantuan begitu sahaja. Saya suka dapat membantu dan diberi peluang mengongsi pengetahuan dengan pesakit supaya mereka lebih faham apa yang mereka hadapi," kata Cik Zulfa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >