Jururawat dipenjara 7 minggu kerana berulang kali langgar SHN
SEORANG jururawat Hospital Besar Singapura (SGH) dihukum penjara tujuh minggu kerana berulang kali melanggar Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) tahun lalu, lapor The Straits Times.
Nurul Afiqah Mohammed dikenakan SHN 14 hari setelah pulang ke Singapura dari Australia dan sepatutnya duduk di rumah antara 21 Mac dengan 4 April lalu.
Tetapi dia melanggar undang-undang dan beberapa kali meninggalkan flatnya di Woodlands untuk melakukan beberapa perkara, seperti membeli minuman bubble tea di pusat beli-belah Causeway Point dan ke Punggol untuk membantu seorang rakan membuat persiapan bagi majlis perkahwinannya.
Nurul kemudian berasa tidak sihat dan ke Hospital Khoo Teck Puat pada 12 April.
Dia disahkan positif Covid-19 dan dirawat sebelum dibenarkan pulang lapan hari kemudian.
Warga Singapura berusia 22 tahun itu dihukum penjara setelah mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.
Empat lagi tuduhan serupa dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Bagi setiap tuduhan di bawah Akta itu, pesalah kali pertama boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda hingga $10,000. Pesalah berulang boleh dipenjara hingga satu tahun dan didenda hingga $20,000.