Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jururawat dukung inspirasi arwah ibu

Nov 12, 2018 | 05:30 AM



"SETIAP kali saya memakai seragam ini, saya teringin sekali ibu melihat saya keluar dan mencium saya sebelum ke kerja."



Begitulah luahan hati seorang anak yang masih belajar, sedikit demi sedikit, untuk menerima dan membiasakan diri dengan kehidupan tanpa ibunda tercinta.



Keperitan yang terasa di hati dek kehilangan ibunya itu bak "luka segar" bagi Cik Kartika Asman, 23 tahun.



Setiap kali nama arwah ibunya, Allahyarhamha Barija Ahmad Sarjo, disebut atau seseorang mengingatkan beliau tentang ibunya, Cik Kartika akan cuba sedaya upaya menahan air mata daripada mengalir.



"Pemergian beliau merupakan kehilangan terbesar dalam hidup saya.



"Selama ini saya selalu membayangkan beliau berada bersama-sama di masa depan saya untuk menyaksikan setiap titik pencapaian saya... kadang saya rasa beliau pergi terlalu awal.



"Tapi di lubuk hati, saya tahu beliau mahu saya terus berjuang dan bekerja keras, membanggakan beliau meskipun beliau sudah tiada," ujar anak muda yang sangat matang itu.



Cik Kartika kehilangan ibunya itu sehari selepas menerima Sarjana Muda dalam Kejururawatan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 15 Julai lalu.



Pada April 2016, ibunya dikesan menghidap barah paru-paru tahap 4. Awal tahun ini, barah ibunya itu telah merebak ke otak.



"Sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan perubatan, saya sudah boleh menjangkakan apa yang akan berlaku kepada ibu saya, dan pada waktu itu perkara yang terbaik yang boleh saya lakukan ialah berada di sisinya sebanyak masa yang mungkin," kata beliau.



Berkongsi lebih lanjut, anak bongsu daripada keluarga tiga beradik itu berkata ibunyalah yang mencadangkan kepada beliau untuk menjadi seorang jururawat.



Mendengar nasihat ibunya itu, Cik Kartika memilih menceburi bidang tersebut dan kini bekerja sebagai jururawat staf di wad pediatrik di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK.



Namun kejayaan beliau itu bukanlah tanpa onak duri.



Kehidupan beliau sekeluarga sejak Cik Kartika kecil, tidaklah mewah.



Seringkali ketika di bangku sekolah rendah, beliau terpaksa membantu bapanya, Encik Asman Wario, 58 tahun, yang menjual sate di gerai dan mengorbankan waktu tidur dan belajarnya.



Ketika menduduki peperiksaan GCE peringkat 'N' pula, disebabkan kesempitan wang, keluarga Cik Kartika menetap dengan satu lagi keluarga dalam sebuah rumah empat bilik yang dipenuhi lapan orang dewasa dan tiga kanak-kanak kecil.



"Kami (sekeluarga) tidur sebilik, tiga orang di atas katil sementara ayah dan abang tidur di lantai.



"Susah bagi saya mendapatkan suasana yang kondusif untuk mengulang kaji pelajaran dan saya terpaksa bangun awal dan gunakan lampu tandas (untuk belajar) di lantai," cerita beliau.



Biarpun pernah melalui liku-liku sukar dahulu, Cik Kartika tidak pernah merungut. Malah, beliau melihat detik-detik tersebut sebagai pengajaran baginya.



"Itu semua merupakan pengalaman yang membentuk diri saya hari ini, saya lebih kuat dan matang. Melalui perkara tersebut membuat saya terfikir seseorang itu harus jatuh dahulu sebelum dia boleh berdiri semula, capai impian yang lebih besar dan menghargai perkara yang sekecil mana pun.



"Direnungkan semula, saya hargai masa-masa senang dan susah yang pernah saya lalui," ujar beliau yang bercita-cita mahu meneruskan pendidikannya ke peringkat Sarjana pula untuk menjadi Jururawat Pengamal Lanjutan, yang mempunyai pengkhususan dalam Pediatrik.



Dek kecekalannya menghadapi segala rintangan hidup pada usia yang begitu muda, Cik Kartika menerima Anugerah Jauhari Inspirasi Berita Harian (BH) yang diberikan kepada anak muda di bawah 30 tahun yang menjadi contoh kepada masyarakat.



Anugerah tersebut mengiktiraf kisah-kisah penuh inspirasi anak muda ini yang telah menyentuh sanubari pembaca BH dengan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing meskipun perlu menempuh pelbagai dugaan.




"Itu semua merupakan pengalaman yang membentuk diri saya hari ini, saya lebih kuat dan matang. Melalui perkara tersebut membuat saya terfikir seseorang itu harus jatuh dahulu sebelum dia boleh berdiri semula, capai impian yang lebih besar dan menghargai perkara yang sekecil mana pun.

"Direnungkan semula, saya hargai masa-masa senang dan susah yang pernah saya lalui.''

- Cik Kartika.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >