Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Jurutera Al-Quran' raih PhD pengajian Arab pada usia 64 tahun

Sep 09, 2020 | 05:30 AM



PADA usia 60-an tahun, ramai dalam golongan itu mungkin sibuk menghiburkan cucu-cucu.



Namun bagi Mudaris Iskandar Abdullah, beliau baru-baru ini meraih ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian Arab dari Universiti Mishkah (Mesir) pada usia 64 tahun, ketika pandemik Covid-19 ini.



Majlis konvokesyen telah pun diadakan secara dalam talian pada 28 Jun.



"Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih dirahmati dengan kekuatan dan tenaga untuk terus belajar," kata Mudaris Iskandar semasa dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini. Mudaris bermakna pendidik atau guru dalam bahasa Arab.



Dorongan beliau untuk terus menimba ilmu ialah mentornya dari Mesir, Al Amir Fadhi Abbas dan anaknya Al Amir Hashim Fadhl, yang telah menggalak beliau menyambung belajar membaca Al-Quran, serta mendalami bahasa dan budaya Arab.



Setelah mendapat ijazah sarjana dua tahun lalu, beliau didorong supaya tidak berhenti apa yang telah dimulakan, justeru meraih ijazah PhD.



"Kalau tak mula, kita tak akan tahu. Saya hanya akan berhenti mengejar ilmu apabila menutup mata nanti. Jika belum sampai masanya, saya akan terus belajar, insya-Allah," ujar Dr Iskandar sambil merakamkan terima kasih kepada ketua pentadbiran Universiti Mishkah, Profesor Dr Abdul Hakeem, dan penyelia PhD, Prof Dr Fawzi Abu Rabbi, yang sentiasa mendorong dan membimbingnya.



Isteri dan dua anaknya juga banyak memberikan kata-kata perangsang.



Minatnya dalam kajian Al-Quran amat mendalam sehingga beliau digelar 'jurutera Al-Quran' dalam kalangan rakan-rakannya kerana kegigihannya meneliti setiap perkataan dalam Al-Quran, menganalisis hurufnya serta mengemukakan rumusan kajian.



"Ada orang tanya saya berapa cepat saya boleh baca dan khatam Al-Quran. Saya jawab, satu ayat saja, saya boleh sangkut beberapa jam! Ini kerana saya akan mengambil masa memerhatikan setiap huruf, sastera serta sejarah di sebaliknya. Itulah minat saya," kata Dr Iskandar dengan tawa kecil.



Sebagai seorang pendidik bahasa dan budaya Arab sejak lebih 30 tahun, Mudaris Iskandar pernah membimbing dua pelajar cemerlang iaitu Mufti Singapura Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir dan juga Presiden Kanan Mahkamah Syariah Ustaz Alfian Yasrif Kuchit.



Mudaris Iskandar juga sebelum ini mengajar bahasa dan budaya Arab di beberapa tempat seperti di kelab masyarakat Tampines North, Institut Pengajian Al-Zuhri dan juga di Maktab Rendah Raffles.



Ketika belajar atau mengajar, beliau turut menggunakan alat IT (teknologi maklumat) untuk memudahkan dirinya semasa mengajar dan jika perlu merujuk sesuatu.



"Sekarang dengan teknologi, sangat senang. Saya ada sekitar 3,000 buku PDF (salinan digital) dalam thumbdrive saya sebagai rujukan," katanya.



Beliau juga akan memanfaatkan wadah interaktif semasa mengajar agar dapat menarik minat murid-muridnya.



Ilmu yang diperolehinya dalam agama dan bahasa Arab mungkin lebih mengagumkan, kerana Mudaris Iskandar ialah seorang mualaf yang memeluk Islam ketika umurnya 18 tahun. Sebelum itu beliau beragama Hindu.



Namun, menurutnya, beliau dibesarkan dalam masyarakat Melayu/Islam di Syed Alwi Road bersama keluarganya dan berpeluang melihat betapa murni agama itu melalui tingkah laku jiran-jirannya. Beliau juga mula mempelajari lebih mendalam mengenai agama Islam ketika di sekolah menengah.



Mudaris Iskandar berharap masyarakat Melayu/Islam akan terus menimba ilmu, tidak kira usia. Beliau juga inginkan masyarakat Melayu bersama maju dengan bangsa lain.



"Saya harap kita semua dapat maju bersama. Jangan asingkan diri atau berkira dengan orang lain. Jika berkebolehan, bantu yang lain untuk sama-sama perbaiki diri," nasihat Dr Iskandar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >